Tidak merujuk kepada Anwar - Zuraida - Utusan Malaysia

Tidak merujuk kepada Anwar – Zuraida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menafikan tanggapan pihak tertentu kononnya pemimpin parti yang didakwa melemahkan demokrasi menerusi artikel dalam ruangan rencana Utusan Malaysia merujuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu malah menegaskan, artikel yang disiarkan pada Isnin lalu itu adalah pandangan peribadi beliau serta visinya sebagai pemimpin politik di negara ini.

Sehubungan itu, Zuraida menjelaskan, adalah tidak benar sebarang tafsiran yang dibuat sesetengah pihak bahawa artikel itu merupakan kritikan ditujukan kepada Anwar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Artikel itu visi politik saya pada masa depan dan bukannya menuding atau merujuk kepada mana-mana parti tertentu,” kata beliau seperti dipetik portal Free Malaysia Today hari ini.

Zuraida dilaporkan berkata demikian selepas merasmikan Seminar Nasional Wanita dan Politik: Ke Mana Hala Tuju Politik Negara.

Dalam rencana bertajuk `Aspirasi akar umbi dalam politik’ tulisan beliau yang disiarkan dalam muka surat 15 Utusan Malaysia Isnin lalu, Zuraida menempelak golongan pemimpin yang melakukan pengkhianatan terhadap parti sendiri apabila tergamak meminggirkan kehendak akar umbi.

Menerusi rencana itu, Zuraida memberitahu, antara bukti pengkhianatan itu termasuklah melantik individu yang kalah dalam pemilihan parti dengan meletakkan golongan itu sebaris dengan mereka yang menang.

Tegas beliau, dalam amalan demokrasi, pemenang akan dikira dengan jumlah undi untuk menandakan sokongan kepada calon-calon yang bertanding tidak kira sama ada meraih majoriti mudah atau menang besar dalam sesuatu pilihan raya atau pemilihan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN