KOTA BHARU 15 Jan. – Bekas pemain tengah Negeri Sembilan, Flavio Beck Junior menjadi permata import baharu yang diikat Kelantan bagi mengharungi saingan Liga Premier 2019.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pemain kelahiran Brazil itu akan beraksi bersama The Red Warriors (TRW) untuk tempoh satu musim.
Menurutnya, kehadiran pemain berusia 31 tahun itu mampu memperkasakan lagi jentera tengah TRW bersama pemain muda, Nik Mohd Akif Syahiran Nik Mat.
“Menariknya, pemain ini mampu bertindak sebagai pemain tengah dan penyerang selain sudah masak dengan kancah Liga Malaysia.
“Justeru, kita sememangnya menagih pengalaman yang ada pada Flavio untuk membimbing pemain muda Kelantan musim ini,” katanya.
Setakat ini, Kelantan diperkuatkan dengan dua pemain import iaitu Yuta Suzuki dan Cassio De Jesus yang merupakan tonggak musim lalu. – UTUSAN ONLINE










