LONDON 8 Jan. – FERRARI melantik ketua pasukan baharu, Mattia Binotto dalam usaha mereka untuk bangkit daripada kegagalan pemandu mereka merangkul gelaran dunia dalam perlumbaan Formua 1 (F1) sejak 2007.
Binotto yang akan menjadi ketua pasukan keempat dalam tempoh tidak sampai lima tahun menggantikan penyandang, Maurizio Arrivabene dalam satu perubahan drastik pasukan F1 yang berpangkalan di Itali itu.
Perubahan yang berlaku itu juga dilihat sebagai satu langkah terdesak Ferrari terutama menjelang saingan F1 musim 2019 yang dijadual berlangsung di Australia, 17 Mac ini.
“Selepas empat tahun berkhidmat dengan komited dan dedikasi, Maurizio Arrivabene akan meninggalkan pasukan. Keputusan ini dibuat secara bersama dengan pihak atasan syarikat menerusi satu perbincangan yang panjang,” kata kenyataan yang dikeluarkan Ferrari, hari ini.
Arrivabene, sebelum ini, dilantik pada November 2014 dengan menggantikan Marco Mattiacci yang terdahulu mengambil alih jawatannya daripada Stefano Domenicali yang melepaskan tugasnya pada April tahun sama.
Berdasarkan latar belakang, Binotto sudah bersama Ferrari di Maranello sejak lebih dua dekad yang lalu dan mempunyai pengalaman luas. Pelantikannya berkuatkuasa serta merta dengan semua pasukan teknikal diletakkan di bawah Binotto.
Ferrari hanya memenangi enam daripada 21 perlumbaan F1 yang dilangsungkan bagi musim 2018 menerusi dua pelumbanya, Sebastian Vettel dan Kimi Raikkonen, sekaligus gagal menyekat dominasi Mercedes yang meraih gelaran dunia bagi kategori pemandu dan pengeluar buat tahun kelima berturut-turut. – REUTERS










