PENGGUNAAN bahan terbuang seperti batang pokok, papan lapis, pelbagai peralatan plastik yang sudah tidak digunakan, tali dan pukat lama digabung dengan kreativiti seni akhirnya terserlah sebuah replika bot yang bernilai dari sudut estetika seni arca yang kian diminati ramai.
Penghasilan replika bot nelayan tidak semudah yang disangka. Ia mengambil masa yang lama termasuk mengkaji setiap sudut dan dan kemasan bot sebenar yang perlu diserlahkan dalam saiz yang lebih kecil sesuai untuk ditempatkan di ruang tamu rumah.
Pengusaha replika bot, Engku Abas Engku Ngah, 54, dari Kampung Pachakan, Besut, Terengganu berkata, pembikinan sesebuah replika bot nelayan memakan masa yang lama apabila penelitian yang menyeluruh termasuk keseimbangannya supaya tidak tenggelam atau karam bila dilabuhkan dalam air.

Menurutnya, penelitian ini adalah prosedur wajib dalam memastikan penghasilan replika ini berkualiti bukan hanya dari aspek seni serlahan dan catan tetapi mencakupi kesempurnaannya bila diapungkan di permukaan air.
“Ada dua kumpulan penggemar replika bot nelayan iaitu mereka yang gemar mengumpul koleksi kapal maritim sekadar untuk dekorasi dalam rumah mereka dan sebahagian lagi menempah replika bot untuk dilengkapkan enjin dan alat kawal pandu yang membolehkan replika bot berkenaan mampu berfungsi bagaikan bot sebenar yang meredah samudera.
“Saya terlebih dahulu perlu menyiapkan lakaran sebelum mencari bahan-bahan yang boleh diguna pakai untuk membina sebuah bot.
“Keadaan sebenar sebuah bot seperti perlu ada luang, lunas, dek, tender,leher atas, butir bawah,tangga angkat pukat, enjin, tongkat mesin, tiang api belakang, batang radar dan sebagainya perlu lengkap,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pachakan, baru-baru ini.
Rumah jadi bengkel
Engku Abas yang juga seorang tukang rumah berkata, pembikinan sesebuah replika berdasarkan kepada tempahan pelanggan dan ia dilakukan secara sambilan pada hujung minggu dan waktu malam di persekitaran rumahnya yang dijadikan bengkel replika bot.
Menurutnya, banyak kegagalan ditempuh pada peringkat percubaan kerana setiap kejayaan itu perlu merentasi pembelajaran sama ada dari segi pemerhatian dan kajian badan bot itu sendiri.

“Peralatan asas yang diperlukan seperti pahat,tukul besar dan kecil, gergaji, cat, paku pelbagai saiz, kadbod, papan lapis dan formika adalah satu keperluan dalam kraf pembinaan replika bot.
“Jangka masa siap mencecah tempoh dua bulan untuk sebuah replika. Pukat, sonar, tong drum, robot dan aerial radio tanpa wayar pula adalah aksesori yang wajib ada di atas replika yang dihasilkan,” ujarnya.
Engku Abas berkata, tinggal di persekitaran perkampungan nelayan dan minat yang mendalam banyak membantunya berkarya bukan sahaja menghasilkan bot nelayan tetapi mampu membuat replika kapal layar dan tongkang.
Katanya, semuanya adalah kerja tangan yang seratus peratus tidak menggunakan mesin.
“Minat terhadap penghasilan bot berputik ketika saya berusia belasan tahun. Apa lagi selepas alam dewasa pernah juga saya menjadi nelayan di Kuala Besut. Waktu tidak turun kelaut, saya banyak menghabiskan waktu mengamati tukang membina bot nelayan dan dari situ tercetusnya idea membina replika bot untuk dijadikan perhiasan bagi kegunaan sendiri.
“Sehingga sekarang sudah sembilan tahun saya berkecimpung sebagai pembuat replika. Harga seunit replika bot bergantung kepada saiznya iaitu panjang kira-kira satu meter dengan lebar 0.5 meter dijual RM1,800 hingga RM2,500 sebuah,” katanya.
Jual dalam talian
REPLIKA bot nelayan hasil ciptaan Engku Abas laris bagaikan pisang goreng selepas dipaparkan reka bentuk dan dekorasinya di laman sosial.
Penjual replika itu, Sharimi Mohamad, 40, dari Kampung Dalam Rhu, Pasir Puteh, berkata, dia membantu tukang replika bot itu memasarkan hasil seni kerja tangan itu sehingga Engku Abas tidak menang tangan untuk menyiapkan replika sepanjang tahun.
Menurutnya, zaman kemajuan masa kini perniagaan tidak lagi memerlukan ruang kedai tetapi cukup dengan memaparkan gambar-gambar yang menarik yang boleh diiklankan secara percuma di dalam talian untuk proses tawar menawar dan transaksi pembelian.
“Selepas persetujuan harga belian kita berbincang pula sama ada replika itu akan diambil sendiri oleh pembeli atau dihantar terus ke kediaman mereka.
“Seronok juga menjalankan perniagaan kraf seperti ini kerana tidak ada persaingan dengan penjual selain harganya yang berbaloi berbanding perniagaan lain. Saya berniaga apa sahaja kerja tangan yang berbentuk seni dan kraf. Alhamdulillah…sambutan amat memberangsangkan,” katanya.
Walaupun tidak ramai pembeli, dia tetap yakin terhadap perniagaan yang dijalankan secara sambilan kerana Engku Abas merupakan satu-satunya peniaga yang menjual replika bot nelayan setakat ini.
“Paling tidak saya berjaya membantu Engku Abas meraih pendapatan memberangsangkan dengan hasil kerjanya. Pasarannya merentasi sempadan cuma bergantung kepada kesempatan dan keupayaan beliau menyiapkan sesebuah replika bot,” ujarnya.
Sharimi berkata, setakat ini dia berjaya mengiklankan hasil seni itu di ruangan muka buku dengan membina laman Replika Bot Nelayan C2 dan juga laman kumpulan muka buku Anak-anak Jertih Besut yang sering mendapat maklum balas netizen yang berminat serta tidak banyak soal tentang harga yang ditetapkan.
“Pembuat replika bot ini terlalu istimewa. Orang seni kraf yang perlu diberi pengiktirafan, Pada saya, usaha membeli dan memasarkan semula produk yang dihasilkannya seperti menghargai bakat dan kemahiran yang tentunya tidak ada pada orang lain,” katanya.










