KUALA TERENGGANU 8 Jan. – Bayi kembar lelaki dan perempuan menjadi bayi ke-100 dan 101 yang dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini menerusi kaedah persenyawaan in vitro (IVF) sejak 10 tahun Unit Perawatan Reproduktif ditubuhkan di hospital berkenaan.
Cahaya mata kepada pasangan, Zairi Anuar Zakaria, 36, dan Nurfidiamil Rozali, 35, itu dilahirkan selang seminit pada pukul 11.28 pagi dan 11.29 pagi, kelmarin dengan berat masing-masing 2.56 kilogram dan 2.6 kilogram.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Jusoh berkata, suami isteri yang sudah lapan tahun berkahwin itu mula mendapatkan rawatan IVF pada tahun 2016 dengan Nurfidiamil disahkan hamil pada 17 Mei tahun lalu menerusi pemindahan embrio beku.
Katanya, HSNZ melakar sejarah apabila bayi pertama IVF dilahirkan pada 31 Ogos 2010 di samping kelahiran bayi kembar perempuan pertama dengan perkhidmatan teknologi pembiakan berbantu (ART) pada 27 Oktober 2012.
“Secara purata kita merawat kira-kira 4,000 pasangan yang mempunyai masalah ketidaksuburan dari pantai Timur di Unit Perawatan Reproduktif HSNZ pada setiap tahun dengan tahun lalu kadar kehamilan yang dicatatkan adalah sebanyak 30 peratus, sejajar dengan purata peratusan kehamilan IVF yang di seluruh dunia.
“Di samping itu, seramai 700 pasangan telah berjaya menjalani rawatan ART-IVF sejak tahun 2009 dan sebanyak 727 pemindahan embrio dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar selepas meraikan bayi kembar berkenaan di Pusat Rawatan Ibu dan Anak HSNZ di sini hari ini.
Menurut Mohd., berdasarkan rekod seramai 52 bayi lelaki dan 49 bayi perempuan IVF dilahirkan di HSNZ. – UTUSAN ONLINE










