Sindiket edar dadah lumpuh, babit rampasan bernilai RM203,500 - Utusan Malaysia

Sindiket edar dadah lumpuh, babit rampasan bernilai RM203,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH 7 Jan. – Satu sindiket pengedaran dadah berpusat di daerah ini yang aktif sejak empat bulan lalu berjaya dilumpuhkan selepas polis merampas tiga jenis dadah bernilai RM203,500 pada awal pagi, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kesemua dadah berkenaan dirampas susulan penangkapan seorang suspek lelaki berusia 37 tahun di sebuah rumah dekat Kampung Pulau, Durian Tunggal di sini pada pukul 2.15 pagi. 


Menurutnya, antara dadah yang dirampas termasuk heroin seberat 1,840 gram, ketamin (2,940 gram) dan 1,300 biji pil ekstasi selain wang tunai RM9,000 dipercayai hasil jualan bahan terlarang tersebut. 


“Semasa serbuan, pintu rumah berkenaan dibuka oleh ibu suspek berumur 63 tahun yang kemudian menunjukkan kepada pihak polis bilik didiami anaknya itu. 


“Suspek yang ketika itu berada dalam bilik tersebut tidak dapat melarikan diri dan ditahan bersama bekalan dadah dipercayai baharu dibungkus semula kepada paket-paket kecil untuk diedarkan di luar Alor Gajah,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, di sini sebentar tadi.


Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Ahmad Mazlan Abd. Rahman dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Inspektor Muhamad Amin Padzil. 


Jelas Asmadi, suspek yang bekerja sendiri kini direman selama tujuh hari sehingga 10 Januari ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×