BIARPUN baru berusia 22 tahun, Nurin Afiqah Zulkifli bijak menjawab setiap soalan. Malah dia seronok bercerita tentang pengalamannya melibatkan diri dalam aktiviti zumba. Katanya, dia mula berminat untuk mempunyai lesen sebagai pengajar zumba selepas terpikat melihat sekumpulan pelajar yang diketuai oleh seorang gadis bersenam sambil mengikut alunan muzik yang diputarkan.
“Saya tahu gadis itu selalu mengadakan kelas senaman aerobik dan zumba yang diiringi muzik di kampus kerana dia anak murid ayah saya. Saya ralit melihat gerak tarinya yang lincah. Jadi, saya tanya dia…, macam mana nak jadi pengajar zumba.
Kata gadis itu jika mahu jadi cikgu zumba, saya perlu menimba ilmu dan pengalaman daripada pengajar zumba yang terlatih terlebih dahulu.
“Itulah prinsip yang saya pegang ketika ingin bergerak serius dalam dunia zumba,” beritahu Nurin yang sudah dua tahun memegang lesen sebagai pengajar zumba.
Menurutnya, minat terhadap muzik, tarian dan sukan sudah lama wujud dalam dirinya. Malah sejak kecil lagi iaitu ketika berusia sekitar tiga tahun, Nurin selalu ikut bapanya pergi ke gimnasium.
“Ayah saya merupakan penyelaras di pusat gimnasium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Shah Alam. Disebabkan selalu ikut ayah ke gimnasium memudahkan saya menyertai apa-apa aktiviti fizikal di kampus,” ujarnya. Sejak sekolah menengah Nurin sudah aktif menyertai aktiviti sukan seperti lompat tinggi, bola jaring dan olahraga.
Selain itu katanya, dia juga seorang yang sangat suka berada di atas pentas kerana ingin mendapat perhatian daripada khalayak ramai.
“Sebenarnya dahulu saya pernah mempunyai ‘stage fright’ untuk berada di atas pentas gara-gara satu insiden sewaktu menjadi naib presiden bagi rumah sukan di sekolah.
“Saya dipaksa menyanyi di atas pentas sebagai wakil untuk bertanding dengan rumah sukan yang lain. Saya tidak pandai menyanyi menyebabkan persembahan saya diketawakan.
“Selepas insiden itu, saya sentiasa cuba melawan perasaan fobia tersebut sehinggalah saya menjadi seperti diri saya sekarang iaitu mempunyai keyakinan diri yang tinggi untuk berada di atas pentas,” ujarnya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik dan satu-satunya puteri di dalam keluarga.
Mengakui seorang yang senang melawan ketakutan dan bukannya jenis yang mudah mengalami trauma tatkala menempuh pengalaman pahit, Nurin sentiasa memilih untuk berdepan dengan segala rintangan yang mendatang.
“Saya pernah hampir lemas beberapa kali dan terbaru kira-kira empat tahun lalu. Sesetengah orang yang pernah lemas mesti trauma untuk bermain aktiviti melibatkan air, tetapi saya tidak. Saya tetap aktif berenang dan melakukan aktiviti air seperti biasa.”
“Saya tidak boleh katakan tidak terhadap sesuatu perkara yang orang fikir saya tidak boleh lakukannya. Sebagai contoh, jika terdapat individu mengatakan “saya tidak fikir awak boleh buat” atau stereotaip tentang “selepas kahwin…, awak mesti gemuk”, semua itu akan saya buktikan tidak benar.
Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada cara berfikir dan cara kita mengatasinya. Jika berusaha, teruskan usaha dan berhenti merungut.
Nurin yang aktif menganjurkan kelas zumba di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor berkata, aktiviti itu kini semakin diminati penuntut universiti tempatan.
“Biasanya orang panggil Nurin untuk jadi tenaga pengajar bagi aktiviti zumba. Saya bukan sekadar mengajar, malah turut berkongsi keseronokan berzumba.
“Kalau ikutkan, zumba tak susah. Kita menari di hadapan dan peserta yang akan meniru apa yang kita lakukan. Sebagai tenaga pengajar, saya memberikan 200 peratus tenaga untuk mengajar,” katanya sambil memberitahu zumba tidak terlalu fokus pada tarian.
Justeru, tidak kisah kita pandai menari atau tidak, asalkan berpeluh dan seronok melakukannya, itu sahaja sudah cukup untuk berzumba.
“Zumba berkait rapat dengan kebebasan. Bagi golongan bekerja, jika mereka mengikuti aktiviti zumba boleh menghilangkan tekanan kerja. Begitu juga, menguasai zumba merupakan satu pencapaian yang membanggakan,” katanya yang mengakui falsafah zumba adalah muda, menyeronokkan dan efektif.
Rebut peluang depan mata
Bukan itu sahaja, gadis lincah kelahiran Selangor ini kerap menjadi perhatian banyak pihak terutama agensi peragaan dan pengiklanan yang tertarik dengan personalitinya yang ramah serta mudah didekati.
Tidak menjadikan faktor giginya yang bermasalah sebagai penghalang, sebaliknya Nurin menjadikannya batu loncatan untuk menempatkan diri dalam dunia peragaan.
“Kerjaya model saya bermula selepas membantu kawan memperagakan pakaian. Selepas itu, ada pengusaha butik merisik saya untuk menjadi model pakaian mereka,” katanya yang juga duta produk jenama pakaian tempatan atas talian, Poplook.
Menurutnya, pada awalnya dia tidak begitu yakin. Namun apabila pihak butik membayar setimpal dengan tenaga yang dikerah, Nurin tekad meneruskan usaha. Dalam pada itu, dia tertanya-tanya sama ada dia layak atau tidak, memandangkan masih baru dalam industri itu.
“Ditambah pula, ketika itu saya ada masalah gigi yang menyebabkan saya terpaksa memakai pendakap gigi. Masalah itu menyebabkan keyakinan diri saya sangat rendah,” katanya yang kemudian memutuskan untuk terus mencuba bidang itu.
“Alhamdulillah, permintaan untuk menjadi model produk masih laris sehingga sekarang,” katanya yang baru dua tahun bergerak dalam dunia peragaan iaitu empat bulan selepas menyertai zumba.
Menurutnya, kebanyakan pihak yang memilih dia memperagakan pakaian, bukan kerana wajahnya yang menawan. Jika pihak tersebut mahukan model, terdapat ramai di luar sana memiliki wajah lebih menawan dan tubuh tinggi lampai.
“Apabila ditanya kenapa mereka memilih saya, jawapannya adalah mereka mahukan seseorang berdasarkan personaliti,” katanya.
Nurin berkata, selepas menceburi bidang peragaan, dia bukan sahaja lebih mengenali diri sendiri, malah turut menemui kawan sejati. Istilah kawan sejati, katanya, tidak semestinya mempunyai minat yang sama tetapi kawan yang selalu hadir ketika susah dan senang.
Mahu lari daripada stigma masyarakat
Tidak mahu dilabel sama seperti barisan Instafamous lain, Nurin mempunyai perancangan masa panjang.
“Insya-Allah, saya akan membuka agensi dalam bidang korporat melalui gerak kerja, komunikasi dan tatacara yang melibatkan diri secara berpasukan.
“Biarlah tidak terkenal seperti orang lain, asalkan kita lakukan apa yang kita suka. Jika ditanya tentang perancangan masa depan, saya memilih bidang perkhidmatan,” ujarnya yang merupakan penuntut sepenuh masa Ijazah Sarjana Muda Ekonomi pengkhususan dalam Pentadbiran Perniagaan di UIAM, Gombak.
Menurutnya, dia perlu bijak menyeimbangkan diri dalam dua dunia berbeza. Mahu melibatkan diri dalam industri perkhidmatan tetapi dalam masa sama dia ingin menceburi dunia peragaan fesyen sebagai tarikan kepada anak muda yang menggemari kecantikan dan kesihatan, terutama dalam media sosial.
Nurin memberitahu, melalui Instagramnya, nurinafiqaaah, media sosial itu adalah langkah pertamanya dikenali ramai sekali gus menjana pendapatan kerana pengikutnya kini mencecah 135,000 orang.
Memperakui bahawa dia lebih seronok menceburi zumba berbanding peragaan, katanya, zumba mempunyai banyak manfaat dari sudut kesihatan. Salah satunya adalah zumba dapat mengaktifkan hormon endorphin yang menjadikan penggemar zumba berasa gembira. Malah, dia turut berkongsi tip kecantikan iaitu minum air putih secukupnya, selain mengamalkan tip pernafasan dengan betul.
“Jika diberi pilihan antara zumba dan peragaan, sudah tentulah saya pilih zumba,” jujurnya yang sering berkongsi video satu minit di Instagram tentang zumba yang dilakukan ketika berada di luar negara.
Nurin memberitahu, zumba memberikan manfaat yang banyak kepada orang ramai.
“Ramai orang nak sertai zumba sebab nak sihat, nak kurus dan nak rasa seronok. Ia secara tidak langsung dapat memberikan inspirasi kepada orang lain. Berbanding modeling, ia hanya memberikan kepuasan kepada diri sendiri tetapi zumba memberikan kepuasan kepada semua orang,”jelasnya.
Nurin tidak menafikan pernah menerima kecaman masyarakat yang beranggapan zumba tidak manis untuk wanita bertudung.
“Saya ingin tegaskan, tidak semestinya kita menutup aurat tidak boleh melakukan apa yang kita suka. Segala pergerakan zumba yang melibatkan orang awam disesuaikan mengikut situasi dan persekitaran.
“Cabaran saya yang lebih utama adalah untuk membahagikan masa antara pelajaran dan pekerjaan. Apabila melibatkan situasi tersebut, kita perlu berkorban. Kita harus tahu apa yang diperlukan selepasnya untuk menggantikan kembali waktu belajar tanpa ada gangguan lain,” tambahnya.








