Wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan.
Fenomena masa kini memperlihatkan wanita semakin berani mencuba pelbagai cara bagi membuatkan diri mereka kelihatan cantik dan sentiasa tampil menawan.
Selain daripada pemilihan pakaian, sentuhan bagi menghias wajah diberikan perhatian agar mereka dapat menjalani setiap langkah dengan penuh yakin.
Meskipun masing-masing memiliki pandangan dan stail berbeza, namun kaedah solekan terkini sering menjadi perhatian agar sesuai dengan keperluan menghadiri majlis, bersantai mahupun menjadi ratu sehari.
Dalam hal ini, teknik merias wajah amat penting bagi memastikan kualiti solekan yang dihasilkan tidak pecah mahupun bercapuk, meskipun menggunakan barangan solek berjenama antarabangsa.
Menurut jurusolek bebas dari Kemaman, Terengganu, Dina Rahayu Heryi, biarpun menerima pelbagai permintaan terhadap gaya solekan, namun solekan nipis dan tidak keterlaluan menjadi gaya yang paling ‘laku’ dalam kalangan pelanggan kerana memberikan impak seri wajah semula jadi dan tidak berubah mengikut peredaran masa.
‘‘Meskipun solekan malar segar memberikan kesan semula jadi, namun solekan ini mampu meningkatkan kecantikan wajah sebenar dan luar biasa yang dimiliki setiap individu lebih-lebih lagi apabila difokuskan oleh lensa kamera melalui teknik solekan yang betul,’’ kata Dina.
Menurutnya, teknik asas yang betul adalah menyemburkan sedikit penyegar diikuti pelembap dan biarkan seketika bagi membolehkannya meresap ke dalam kulit. Seterusnya, letakkan sedikit foundation premier agar solekan tahan lebih lama,’’ujar Dina.
Langkah itu amat penting kerana setiap wanita perlu tahu masalah serta jenis kulit yang dimiliki agar dapat disesuaikan dengan produk yang diambil.
‘‘Seterusnya, bagi mereka yang memiliki kening yang nipis dan tidak rapi. Bentukkan kening terlebih dahulu menggunakan sedikit penutup cela agar mengubah sedikit wajah selain memberikan impak yang lebih kemas,’’ katanya.
Bagi menutup lingkaran hitam bawah mata, gunakan corrector berwarna oren bagi menghilangkan kesan mata yang layu dan sembap.
Sementara itu, letakkan alas bedak pada wajah mengikut kesesuaian warna kulit dengan memilih warna alas bedak yang hampir sama dengan warna leher.
‘‘Ramai yang buat silap ketika memilih alas bedak. Segelintir mereka meletakkan secalit alas bedak pada tangan sedangkan warna pada leher adalah warna sebenar kulit. Ini penting dalam menentukan ton alas bedak,’’ ujar Dina.
Dalam pada itu, penutup cela berwarna cerah diletakkan di bawah mata, batang hidung dan bentuk bibir.
Selain itu, sedikit pembayang di bahagian tulang pipi, hidung dan dagu penting bagi menaikkan seri wajah.
Seterusnya, letakkan sedikit bedak tabur pada wajah dan diikuti dengan pembayang mata.
‘‘Warna pembayang mata bagi solekan ini adalah warna-warna tanah seperti coklat terang lembut, sederhana dan coklat gelap. Kombinasi warna pembayang mata ini mampu menyerlahkan kecantikan asli dan tidak begitu galak,’’ katanya.
‘‘Sedikit pembayang mata bersinar (glitter) diletakkan pada bahagian kelopak mata agar menaikkan lagi seri solekan mata. Langkah seterusnya adalah mengepit bulu mata, meletakkan maskara pada bulu mata dan penggaris mata,’’kongsi Dina.
Setelah solekan mata siap, fokus pula pada bahagian pipi.
‘‘Mulakan dengan meletakkan warna coklat cerah di bahagian separuh belakang tulang pipi dan diikuti dengan rona pic dari arah bertentangan. Teknik ini membolehkan pipi kelihatan lebih runcing dan tampak lebih mulus,” ujar Dina.
Akhir sekali, gunakan gincu dengan dua warna berlainan iaitu warna senada dengan warna kulit (nude) dan pic oren.
Dalam mengenakan gincu, kita perlu melalui tiga proses iaitu dimulakan dengan mencalit sedikit pelembap bibir.
Ia penting bagi mendapatkan kulit bibir yang sihat, tidak merekah dan membolehkan gincu melekat dengan cantik.
Seterusnya, oleskan gincu jenis matte pada bibir kerana sifat gincu itu memberikan tekstur yang ringan dan lebih menawan.
Manakala, sedikit lip gloss pada bibir mampu memberikan kesan berkilau sekali gus menjadikan bibir lebih mungil.










