LONDON 6 Jan. – Philippe Coutinho perlu bangkit untuk mengubah nasibnya sendiri dengan menjadi pemain yang Barcelona mahukan.
Itu pandangan daripada Sepanyol setahun selepas dia melakukan perpindahan kontroversi dari Liverpool.
Barcelona memecah rekod kelab selepas membeli Countinho dengan harga 160 juta euro (RM750 juta), bagaimanapun, belum sampai 12 bulan berada di Barcelona, bintang tengah Brazil itu kelihatan bergelut untuk beraksi bersama kesebelasan utama, sementara bekas pasukannya beraksi cemerlang tanpa kehadirannya.
Coutinho, yang muncul pemain ketiga termahal di dunia selepas bintang Paris St Germain, Neymar dan Kylian Mbappe, memulakan kehidupannya di Barcelona dengan persembahan cemerlang setelah meledakkan 10 gol dalam tempoh lima bulan pertamanya bersama kelab Catalan itu.
Kehadirannya mengukuhkan lagi bahagian tengah Barcelona dan turut berjaya menghadirkan lebih ancaman menerusi rambatan jarak jauh.
Namun, impaknya itu kini seakan-akan tenggelam. Dia gagal berada dalam kesebelasan utama untuk tiga perlawanan terakhir bersama pendahulu Liga Sepanyol itu. Dari segi turutan, Coutinho jatuh di belakang pemain tengah Chile, Arturo Vidal dan penyerang Perancis, Ousmane Dembele.
Jurulatih, Ernesto Valverde telah berhenti mengkritik pemain itu secara terbuka dan dia jelas tidak menghiraukan pertanyaan apabila diajukan tentang pemain mana yang menjadi pilihannya sama ada Coutinho atau Dembele yang merupakan pemain kedua termahal kelab itu setelah dibeli dengan harga 105 juta euro (RM492 juta).
“Mereka bukan masalah kepada pasukan. Ia satu kelebihan. Jurulatih yang pro-Barca, mahu pasukan mencatat kemenangan,” kata Valverde, bulan lalu.
Melihat kepada kesebelasan utama pengendali Barcelona itu sejak kebelakangan ini, bagaimanapun, bolah memberikan bayangan tentang apa yang berada dalam fikirannya.
Sememangnya tiada tempat untuk Countinho apabila Valverde menggunakan formasi 3-5-2 dalam aksi terbaru Barcelona sewaktu membelasah Levante 5-0, dan dia juga mengetepikan pemain Brazil itu sewaktu menerapkan formasi biasanya 4-3-3 ketika melakar kemenangan ke atas Espanyol dan Celta Vigo.
Jurulatih itu menurunkan Coutinho sewaktu bertandang ke Rayo Vallecano, November lalu, tetapi apabila pasukannya ketinggalan 1-2 di tangan salah sebuah pasukan paling lemah, dia tanpa banyak berfikir membawa keluar pemain Brazil itu dan kemudian memasukkan Dembele, yang menjaringkan gol bagi membantu Barca meraih kemenangan dramatik 3-2.
Dalam tiga pertemuan terakhir, Valverde terus memberikan kepercayaan kepada Dembele, meskipun pemain muda Perancis itu mencetuskan masalah kerana hadir lewat sesi latihan.
Dengan kehadiran Lionel Messi dan Luis Suarez, serta pemain berpengalaman luas, Vidal yang selesa mengisi tiga posisi tengah Barcelona, Coutinho nampaknya terpaksa berpuas hati memanaskan bangku simpanan.
Coutinho kini tidak lagi menjadi pilihan, walaupun dia adalah pemain yang sebelum ini dianggap sebagai pengganti jangka panjang Andres Iniesta.
Dengan Liverpool berkelebihan empat mata di kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris, Coutinho mungkin kini tertanya-tanya pada ketika dia bakal menyambut ulang tahun perpindahannya dari Anfield ke Nou Camp, sama ada keputusan diambilnya berjaya memenuhi impiannya selama ini. – AGENSI










