KUALA LUMPUR 6 Jan. – Pengganti Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau mengikut penggiliran seperti pusingan terdahulu.
Sebaliknya, ia bergantung kepada keputusan undi rahsia Majlis Raja-Raja dan persetujuan sultan yang dipilih.
Pakar perlembagaan, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz berkata, walaupun wujud senarai

kekananan mengikut penggiliran terdahulu, Majlis Raja-Raja mempunyai kebebasan untuk memilih tanpa menurut senarai itu.
‘‘Walaupun Majlis Raja-Raja mempunyai senarai mengikut kekananan, tapi ia tidak semestinya menurut kekananan itu sebab ia bergantung kepada undi Majlis Raja-Raja.
“Yang kedua, ia perlu dipersetujui oleh baginda yang dipilih. Walaupun mendapat sokongan tetapi jika baginda sendiri menolak, baginda tidak akan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz berkata, Seri Paduka memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang diutus kepada Setiausaha Majlis Raja-raja.
Mengikut sistem penggiliran, Sultan negeri seterusnya yang ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah Pahang. Namun, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah ketika ini sedang gering.
Sementara itu, jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pula kini disandang oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang baru sahaja menamatkan tugas sebagai pemangku Yang di-Pertuan Agong pada 31 Disember lalu.
Setakat ini, hanya tiga negeri yang belum melengkapi giliran Yang di-Pertuan Agong bagi pusingan kedua iaitu Pahang, Johor dan Perak.








