KUALA LUMPUR 6 Jan. – Polis sedang menunggu laporan sampel air kencing Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31, bagi melengkapkan kertas siasatan kes anak Menteri Pertahanan itu yang ditahan kerana disyaki positif ganja di sebuah pusat hiburan eksklusif di Jalan Ampang kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, keputusan laporan itu diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Buat masa sekarang kita sedang menunggu laporan kimia sampel air kencing dari hospital.

“Sebaik sahaja kertas siasatan lengkap, kita rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan pendakwaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan Ahmad Saiful Islam, 31, dan rakannya, 33, ditahan selepas positif ganja dalam pemeriksaan di sebuah premis hiburan di Jalan Ampang di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam semalam.
Menurut sumber, lelaki itu merupakan seorang daripada 101 individu termasuk 55 wanita yang diperiksa dalam Op Hiburan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
“Ketika operasi tersebut, dia dikatakan sedang berhibur dengan beberapa individu lain. Hasil pemeriksaan ke atas kesemua pengunjung, hanya dia dan rakannya yang disyaki positif dadah.
Kedua-dua individu tersebut dibebaskan dengan jaminan polis pada pukul 5.30 petang semalam.
Bagaimanapun, pembebasan mereka menarik perhatian netizen di laman Facebook yang rata-ratanya meluahkan rasa tidak puas hati serta mempersoalkan mengapa kedua-dua individu itu tidak direman.
Sementara itu, Mohamad Sabu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung penahanan anak lelakinya dan mahu kes diselesaikan mengikut proses undang-undang.









