Selangor sasar satu gelaran - Utusan Malaysia

Selangor sasar satu gelaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 6 Jan. – Skuad Selangor meletakkan sasaran meraih dua kedudukan teratas dalam saingan Liga Super dan satu gelaran daripada Piala FA atau Piala Malaysia bagi musim 2019, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon.

Sasaran buat anak-anak buah B. Sathianathan itu katanya, tetap dianggap realistik biarpun Red Giants, musim ini, bakal dibarisi antara sembilan hingga 10 muka baharu di pentas saingan tertinggi bola sepak negara.

“Kami juga ingin melihat Red Giants layak ke Piala AFC 2020 dengan laluan yang dianggap terhampir adalah dengan menjuarai Piala FA.

“Banyak pihak meletakkan harapan tinggi, lebih-lebih lagi jurulatih (Sathianathan) mempunyai rekod pencapaian yang sentiasa membawa pulang piala pada setiap musim ketika membimbing pasukannya sebelum ini,” katanya selepas majlis penutupan Seminar Pengadil dan Penilai Pengadil FAS 2019 di Akademi Bola Sepak Merah Kuning di sini, hari ini.

Namun katanya, para peminat Selangor perlu bersabar sedikit dengan prestasi skuad Sathianathan yang hanya memenangi satu daripada empat perlawanan persahabatan dalam pramusim, setelah menewaskan Kuala Lumpur 3-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, kelmarin.

Selebihnya mereka tewas mengejut 0-2 dan 1-2 kepada PKNP FC di Manjung serta UiTM FC di Subang Jaya pada 30 Disember lalu dan Rabu lepas. Skuad bimbingan Sathianathan turut bergelut sebelum mengikat Pulau Pinang 1-1 dalam aksi yang dilangsungkan di Cyberjaya, 22 Disember lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×