SAUDARA PENGARANG,
SEMPENA tahun baharu 2019, ramai dalam kalangan kita yang memperbaharui azam sebelum ini apatah lagi kita boleh berazam sebanyak mana pun.
Cuma dalam banyak-banyak azam tersebut, adakah kita turut membuat belanjawan kewangan tahun baru? Ada atau tidak kita buat belanjawan kita setiap tahun?
Jika ada, adakah kita buat belanjawan bersama keluarga? Adakah kita libatkan isteri dan anak-anak dalam perancangan bajet kita?
Kalau tidak pernah, apa yang patut dilakukan? Kalau pernah adakah anda buat setiap tahun tanpa gagal? Kalau belum, bila nak mula buat?
Kalau alasannya sebab belum berumahtangga, cukuplah buat untuk perancangan sendiri sahaja.
Jadi amatlah penting untuk kita meluangkan sedikit masa setiap tahun bersama keluarga untuk membuat belanjawan kewangan, mungkin perlu satu hari, separuh hari atau hanya sejam sahaja.
Hal demikian bergantung kepada kesesuaian anda dan adalah lebih baik daripada tidak buat langsung belanjawan tahunan.
Ekonomi mendatang semakin besar cabarannya dan penglibatan ahli keluarga dalam ekonomi keluarga adalah penting bagi ketua keluarga memacu arah tuju kedudukan kewangan mereka.
Penglibatan ahli keluarga dalam perancangan belanjawan juga dapat memberi peluang kepada ahli keluarga untuk sama-sama merancang aktiviti keluarga seperti merancang percutian akhir tahun, perbelanjaan sekolah dan sebagainya.
Masih belum terlambat untuk kita semua membuat perancangan belanjawan tahunan secara berjemaah, panggil semua ahli keluarga untuk sama-sama merancang.
Jadikan mesyuarat perancangan belanjawan sebagai aktiviti wajib keluarga pada setiap tahun dan biarkan anak kita sama-sama terlibat dalam merancang.
Ini penting agar mereka dapat mempelajari ilmu kewangan apabila berkeluarga kerana ilmu itu perlu diberikan kepada anak-anak pada seawal usia.
DR. NURALDI RIDZWAN SHAH MOHD. DALI
Pensyarah Kanan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)









