Kerajaan negeri ambil tindakan terhadap Kamarul - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri ambil tindakan terhadap Kamarul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI 6 Jan. – Kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap Ahli Majlis Daerah Pontian, Mohammad Kamarul Ariffin Harris Fadzillah, kata Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

Osman berkata, beliau akan membawa perkara itu untuk diperhalusi menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dalam masa terdekat.

  “Saya akan bawa dan minta pendapat dalam MMK. Walau bagaimanapun, kita lihat perkara itu sedang dalam perundingan yang kita akan tangani dengan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai desakan pelbagai pihak yang menuntut kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap Mohammad Kamarul Ariffin.

Ahli Majlis Daerah Pontian itu menerusi Facebook miliknya mengeluarkan kenyataan memperlekeh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum membuat permohonan maaf kepada seluruh kerabat diraja Johor atas kenyataan yang dibuatnya Khamis lalu.

Osman ditemui selepas merasmikan Medan Selera Iskandar Malaysia di Gelang Patah di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim. 

Ditanya berhubung warkah Mohammad Kamarul Ariffin yang memohon ampun daripada Tunku Ismail dan keluarga Diraja Johor di atas tindakannya, Osman berkata, permohonan maaf itu satu perkara biasa dibuat daripada mereka yang melakukan kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN