Terpulang majlis agama Islam lantik imam - Utusan Malaysia

Terpulang majlis agama Islam lantik imam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 4 Jan. – Terpulang kepada majlis agama Islam negeri (MAIN) masing-masing dalam menentukan pelantikan imam dengan mengikut realiti setempat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, malah pelantikan itu juga terserah kepada kebijaksanaan mereka untuk menentukan imam yang berkelayakan.

“Berhubung isu imam di Perlis, saya sudah baca kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Majlis Agama Islam Perlis, saya lihat itu kuasa yang ada pada mereka.

“Sudah tentu Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sudah beri nasihat (berkenaan isu itu), diharap jangan timbul persepsi mengenainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi dan ahli-ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini hari ini.

Beliau mengulas berita pemecatan 25 orang imam kariah sekitar Perlis manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat, berkuat kuasa Selasa lalu.


Sementara itu, Mujahid memaklumkan, buat pertama kalinya, Pengerusi MAIWP tidak dilantik daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri manakala ahli-ahlinya tidak terdiri dalam kalangan orang politik.

Katanya, Pengerusi MAIWP yang baharu akan diisi Datuk Seri Syed Hussein Baharom bagi mengantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang meletakkan jawatan.

Beliau menambah, Syed Husssein yang juga Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mempunyai pengalaman luas dalam hubungan antarabangsa kerana pernah menjadi Duta Besar Malaysia Ke Emiriah Arab Bersatu.

“Selain itu, Ketua Pengarah Jabatan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MAIWP,” katanya.

Beliau juga mengumumkan, pelantikan empat ahli MAIWP baharu iaitu Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Ketua Bahagian Syariah dan Pengharmonian Jabatan Peguam Negara, Dr. Arik Sanusi Yeob Johari.

Dua lagi adalah wakil Kementerian Kewangan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×