LONDON 4 Jan. – Pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Gatwick dan Heathrow akan menempatkan sistem pertahanan anti dron gred tentera bernilai berjuta-juta pound selepas peranti itu menyebabkan gangguan selama tiga hari di Gatwick, bulan lalu.
“Walaupun saya tidak dapat menjelaskan secara terperinci tentang apa yang kita ada, saya dapat mengesahkan ini adalah pelaburan jutaan pound untuk memastikan kita berada pada tahap yang setara dengan yang disediakan oleh angkatan tentera,” jelas jurucakap Gatwick dalam satu kenyataan di sini.
Tambah kenyataan itu, peralatan baharu itu ‘telah disiapkan’ dan bakal ditempatkan di lapangan terbang berkenaan.
Di Heathrow pula, pengurusan lapangan terbang itu turut menempatkan teknologi sama selain bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk polis dan melihat teknologi yang relevan bagi memerangi ancaman dron.
Setiausaha Pengangkutan, Chris Grayling juga mengadakan pertemuan dengan polis, pengurusan penerbangan dan pertahanan bagi membincangkan isu berkenaan.
Pada bulan lalu, ancaman drone di Gatwick menyebabkan kira-kira 1,000 pembatalan penerbangan dan memberi kesan kepada ratusan ribu penumpang. – REUTERS










