ALOR SETAR 3 Jan. – Seorang pemuda hanya sempat ‘memancing’ RM13 wang di dalam tabung masjid menggunakan dawai sebelum dicekup jemaah masjid yang menyedari kegiatannya di Masjid Ar-Rahmah, Kampung Imam di Jitra, dekat sini semalam.
Suspek berusia 22 tahun itu, dipercayai bukan pertama kali melakukan jenayah terbabit di lokasi sama tetapi sebaliknya hanya diberi amaran oleh pihak masjid sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim berkata, dalam kejadian pukul 11 pagi itu, seorang jemaah sempat melihat kelibat suspek yang mencurigakan sebelum memaklumkan perkara itu kepada rakannya.
“Suspek dipercayai melarikan diri ke dalam tandas wanita selepas menyedari ada jemaah masuk ke dalam bangunan masjid.
“Mereka kemudian memanggil suspek keluar dari tandas terbabit dan membawanya ke ruang solat lelaki sebelum mendapati tabung telah berubah daripada kedudukan asal,” katanya dalam kenyataan di sini hari.

Mohd. Ismail berkata, pemeriksaan melalui kamera litar tertutup (CCTV) oleh setiausaha masjid mendapati suspek menggunakan dawai untuk memancing duit di dalam tabung tersebut.
Tambah beliau, jemaah kemudian menyerahkan suspek kepada anggota Balai Polis Jitra yang tiba di masjid berkenaan.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – UTUSAN ONLINE










