KUALA LUMPUR – FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka meneruskan momentum positif suku keempat 2018 memasuki suku pertama tahun ini sekali gus terus melonjak untuk mencecah ketahanan psikologi pada 1,800 mata.
Kenanga Research berkata, trajektori menaik itu boleh dicapai jika kedudukan sokongan pada 1,630 terus meningkat dan sokongan psikologi pada 1,600 mata kekal kukuh.
“Suku pertama lazimnya lebih kukuh dari segi prestasi pasaran berbanding suku kedua dan ketiga.
“Indeks dijangka tidak banyak berubah antara 1,600 dan 1,900 jika tiada sebarang berita negatif utama muncul,” katanya dalam nota kajiannya yang dikeluarkan di sini semalam.
Kenanga Research menjelaskan, prestasi pasaran juga disokong oleh potensi kenaikan tahap kadar Amerika Syarikat (AS) yang perlahan, ia dijangkakan menjurus kepada penyusutan indeks Dolar AS.
Oleh itu, pengaliran keluar asing akan menjadi lebih terurus pada masa depan, katanya.
“Selain itu, apabila ringgit secara relatifnya murah dan didagangkan pada kedudukan terendah dalam tempoh dua dekad berbanding mata wang lain di Asia, pasaran ekuiti Malaysia akan menjadi lebih kompetitif,” katanya.
Mengenai risiko, firma penyelidikan itu menerangkan, kebimbangan ke atas penilaian pasaran dengan pengaliran keluar bersih dana asing sebanyak RM3.16 bilion pada suku keempat tahun lalu berbanding RM1.71 bilion pada suku sebelumnya, akan menjejaskan prestasi pasaran.
Faktor lain ialah harga minyak yang lemah serta harga minyak sawit mentah yang kurang menarik, serta unjuran tekniknya yang lemah.
“Namun, kami yakin pasaran tempatan masih dalam jajaran yang tidak banyak berubah sehingga pemangkin penarafan semula yang signifikan,” katanya. – Bernama











