GEORGE TOWN – Polis hari ini meminta lelaki yang menyimbah air panas ke atas anak perempuannya pada Khamis lepas agar menyerah diri secara sukarela secepat mungkin bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Che Zaimani Che Awang berkata, pihaknya tahu lokasi persembunyian lelaki itu namun berharap suspek tampil ke balai polis secara sukarela.
“Jika dia enggan, pihak polis akan menahannya,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Dalam kejadian 1 pagi di Flat Kampung Melayu, Air Itam di sini, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun mengalami lecur tiga peratus pada lengan, rusuk dan dada kanan selepas disimbah air panas oleh bapanya yang berusia 41 tahun.
Suspek kemudian melarikan diri bersama isterinya yang berusia 38 tahun dan anak bongsu mereka. – Bernama










