ALOR GAJAH 2 Jan. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka/Negeri Sembilan menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi berhampiran pesisiran pantai Telok Gong dekat sini awal pagi semalam.
Tangkapan dibuat hasil risikan dan operasi bersama antara Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia yang dijalankan kira-kira pukul 2.30 pagi.
Pengarah Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, lapan orang PATI warga Indonesia termasuk seorang wanita dan seorang PATI warganegara Bangladesh ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959.

“Bot tersebut dikesan berada dalam keadaan mencurigakan iaitu disyaki digunakan untuk mendaratkan PATI di kawasan tidak diwartakan dan bertindak memecut laju apabila menyedari kehadiran pihak Maritim.
“Namun demikian, kesemua PATI itu berjaya ditahan pada kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika dari pesisiran pantai Teluk Gong,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Ini merupakan kes pertama penahanan PATI yang dilaksanakan oleh pihak kami sempena ambang tahun baharu 2019,” katanya.

Maritim Malaysia menurut beliau akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bersama jabatan dan agensi berkaitan dalam usaha meminimumkan aktiviti jenayah rentas sempadan serta kesalahan di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, orang ramai diminta menyalurkan jenayah dan kecemasan di laut kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan 999 yang beroperasi 24 jam. – UTUSAN ONLINE










