LONDON 31 Dis. – Pengendali sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berkata, Paul Pogba kini berada pada prestasi terbaik selepas bintang tengah Perancis itu mempamerkan aksi menyinar ketika membantu Red Devils membenam Bournemouth 4-1, hari ini.
United meraih kemenangan ketiga berturut-turut sejak berada di bawah kendalian Solskjaer dengan Marcus Rashford dan Paul Pogba menjadi inspirasi kepada kejayaan di Old Trafford itu.
Pogba menjaringkan dua gol ketika United mendahului 3-1 sebelum rehat babak pertama dan turut menjadi perancang kepada gol keempat yang disempurnakan Romelu Lukaku. Kecemerlangan itu membuktikan peningkatan mendadak pemain tersebut di bawah kendalian Solskjaer yang menggantikan Jose Mourinho pada pertengahan bulan ini.
Secara keseluruhan, Pogba telah menghasilkan empat gol dan tiga bantuan jaringan di bawah pengendali kelahiran Norway itu.
“Perlawanan ini memaparkan persembahan terbaik daripada seorang pemain tengah kami dan menjadi inspirasi kepada kemenangan. Dia berusaha keras, kelihatan berbahaya di depan gawang, berjaya memenangi bola tinggi, menghasilkan terjahan yang baik dan tidak melakukan sebarang kesalahan serta sangat efisyen.
“Paul sedar dia berada pada prestasi terbaiknya, cuma pada pertengahan babak kedua, dia ada mempersiakan satu peluang yang mana dia mungkin boleh melakukan lebih bagus, tetapi saya tidak boleh mengharapkan lebih daripada apa yang telah dipamerkannya. Seperti yang saya katakan kepada semua pemain, saya mahu melihat yang terbaik,” katanya.
United kini menjaringkan 12 gol dalam tiga perlawanan di bawah kendalian Solskjaer. Bekas penyerang United itu gembira apabila prestasi skuad bimbingannya kembali menambat hati penyokong dengan corak permainan bebas dan menyerang.
“Pemain kami menghasilkan peluang-peluang yang baik dan menunjukkan corak serangan hebat. Itulah yang penyokong mahukan dan semua pemain kami menghayati setiap detik di atas padang,” ujarnya. – AGENSI










