Agihan zakat hanya untuk orang Islam sahaja - Utusan Malaysia

Agihan zakat hanya untuk orang Islam sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Pengagihan zakat di Selangor hanya kepada umat Islam dan bukannya masyarakat agama lain. 

Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid berkata, skop pengagihan zakat di Selangor yang diuruskan oleh LZS adalah berdasarkan kepada hukum syarak.

Katanya, ia meliputi lapan kategori asnaf seperti yang dijelaskan dalam surah at-Taubah ayat 60.

“Kita ingin menegaskan bahawa agihan zakat di Selangor hanya kepada umat Islam dan menafikan ia akan disalurkan kepada agama lain.

“Ini bagi menepis kekeliruan masyarakat berkaitan pekeliling dalaman yang dikeluarkan organisasi ini berhubung penggunaan motto baharu ‘Manfaat Zakat Untuk Semua’ yang tular di media sosial serta WhatsApp dan menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa pada tahun depan LZS telah mengubah motto lama iaitu “Meneraju Perubahan” kepada motto baru iaitu “Manfaat Zakat Untuk Semua”.

Ujarnya, motto itu membawa maksud yang sangat luas dengan menggambarkan ibadah zakat walaupun hanya dikhususkan kepada umat Islam tetapi manfaatnya dinimati oleh semua ahli masyarakat dalam kitaran ekonomi dan sosial. 

“Ini selaras dengan peranan zakat yang mensucikan dan menyuburkan.

“Sekiranya taraf kehidupan asnaf dipertingkatkan secara tidak langsung akan meningkatkan taraf sesebuah negeri atau negara serta kepada rakyatnya tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya. 

Mengulas lanjut, Abdul Basith menjelaskan, LZS tidak ada kaitan dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk parti politik dan akan terus menyantuni asnaf di Selangor bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.

“LZS sentiasa mematuhi Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Peraturan-Peraturan Zakat Dan Fitrah (Negeri Selangor) 2012 dalam melaksanakan operasi agihan dan kutipan zakat di Negeri Selangor. 

“Agihan dan kutipan zakat di negeri Selangor sentiasa mengikut hukum syarak dan ia dipantau rapi oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta dikawal selia oleh jawatankuasa yang dilantik termasuk Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×