SRIKANDI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggariskan tiga fokus utama ‘mengisi kemenangan’ selepas parti berkenaan berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Tiga fokus tersebut ialah meningkatkan lagi kecekapan urus tadbir kerajaan dan parti, memperkasakan modul pendidikan serta memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan wanita bertaraf dunia.
Pastinya, pembangunan usahawan wanita bertaraf dunia akan menjadi ukuran utama sama ada Srikandi mampu menjadi wadah perjuangan wanita yang baharu walaupun masih setahun jagung dalam arena pilitik negara.
Perkara itu diakui oleh Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd. Harun bahawa rata-rata ahli Srikandi masih baharu dalam bidang politik dan perlu dibimbing sebaik mungkin bagi melaksanakan setiap agenda dan program yang dirancang.
Walaupun pelbagai program telah diatur, namun apa yang menjadi persoalan ialah kemampuan Srikandi menjayakan wawasan tersebut.
Hal ini kerana figura yang menonjol dalam perjuangan sayap Bersatu itu hanyalah ketuanya iaitu Rina.
Jika dibandingkan dengan sayap wanita dalam parti gabungan Pakatan Harapan, Srikandi juga dilihat kurang menyerlah termasuk hanya mencatat bilangan ahli sebanyak 70,000 sejak ditubuhkan pada Mac 2017.
Usaha Srikandi itu mungkin juga akan berjaya apabila mendapat talian hayat daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu.
Dr. Mahathir mengumumkan bahawa kerajaan akan terus membantu wanita termasuk memperbesarkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) walaupun sebelum ini ada cadangan untuk menghapuskan agensi yang telah banyak membantu golongan berkenaan.










