Secara selayang pandang, tiada apa yang baharu pada Perodua Alza yang dinaik taraf ini. Tetapi, cuba berhenti sekejap dan pandang dengan lebih lama lagi. Ya, terdapat perubahan kosmetik pada Alza 2018 ini terutamanya untuk model Advance dan Special Edition (SE).
Lihat bampar. Ada elemen menawan terutamanya pada lampu kabus. Jalur hitam seperti pada mata Deadpool ditarik memanjang ke bawah. Jeriji juga disolek dengan lebih baik melalui hiasan warna perak.
Bampar belakang juga dinaik taraf dengan lampu biasan seperti pada bampar Myvi 2016. Dengan kata lain Alza yang dinaik taraf ini tidak melalui perubahan yang agresif.
Sebenarnya penulis tidak pernah menguji Alza yang terdahulu, jadi tidak banyak yang boleh diperkatakan dalam ruangan kali ini.
Apa yang penting, walaupun tiada faktor `wow’ namun Alza merupakan model MPV terlaris di Malaysia buat masa kini. Kenapa ia jadi pilihan?
* Sebuah MPV yang mudah
Penulis melakukan pandu uji Perodua Alza Advance untuk mengetahui mengapa ia menjadi pilihan nombor satu rakyat Malaysia.
Memasuki ruang kabinnya, Alza menawarkan hiasan yang ringkas. Tempat duduk jenis balutan kulit rekaan baharu dengan hiasan jahitan berwarna merah. Kerusi depan juga agak unik kerana tempat meletak tangan jika ditegakkan seperti kerusi memanjang yang boleh menempatkan seorang kanak-kanak di tengahnya.
Jika direbahkan, tempat meletak tangan itu boleh menempatkan beberapa barangan kecil seperti telefon bimbit dan sebagainya.
Papan pemukanya seperti biasa dengan meter tengah (yang menyebabkan penulis rasa janggal) dan terdapat ruang meletak barang pada pemandu dan penumpang. Kluster tengah papan pemuka juga mengalami perubahan. Corong pendingin hawa direka semula dengan meletakkan corong kekal pada bahagian tengah. Ini supaya penumpang barisan kedua serta ketiga menerima udara yang lebih sejuk.
Skrin infotainmen ditengah papan pemuka berasaskan Adroid dengan skrin sesentuh yang boleh dihubungkan melalui Bluetooth dan bertukar menjadi paparan kamera undur.
Tidak terlalu banyak butang kawalan menjadikan Alza ini ringkas dan mudah.
* Kuasa yang berbaloi
Tiada sebarang perubahan pada enjinnya. Perodua mengekalkan enjin 3SZ-VE 1.5 liter empat silinder DVVT berkuasa 102 hp/136 Nm untuk Alza.
Di samping itu, Alza turut dilengkapi dengan sistem brek antikekunci (ABS) untuk mengelak jentera hilang kawalan semasa brek kecemasan dan digabungkan bersama Electronic Braking Distribution (EBD) bagi membantu penyebaran brek yang sekata pada semua roda.
Alza ini turut dilengkapi dengan bantuan membrek (BA) bagi membantu daya tekanan semasa membrek.
Dengan kata lain, walaupun ia kompak tetapi sistem keselamatan aktif cukup sempurna dan memberi keyakinan kepada pemandu dan penumpang.
* Ujian di jalan raya
Oleh kerana ia sebuah MPV kompak, iaitu tidak besar, tinggi dan panjang maka pemanduan juga sedikit berbeza.
Bunyi pintu ditutup juga menunjukkan ia sebuah MPV yang ringan dan pemanduan yang melulu amat membahayakan. Penulis pernah memecut sehingga 160 kilometer sejam (km/j) dan nyata ia beroleng-oleng disebabkan rintangan angin dan daya graviti.
Ketika itu bunyi deruan angin yang tinggi memasuki kabin dan menenggelamkan alunan muzik. Nyata Noise, Vibration and Harshness (NVH) tidak sebegitu cemerlang.
Kenapa ia berlaku? Pada hari ini kebanyakan komponen kenderaan dihasilkan dengan menggunakan logam ringan. Penggunaan logam ringan ini bukan sahaja dapat mengurangkan berat keseluruhan kenderaan malah ia juga mengurangkan pencemaran ekszos dan menjimatkan bahan api.
Bagaimanapun, komponen kenderaan yang ringan ini tidak mempunyai kebolehan untuk menyerap bunyi dan getaran seperti mana yang dimiliki oleh komponen-komponen yang lebih berat. Ini membawa kepada peningkatan dalam masalah NVH.
Oleh kerana ia sebuah MPV kompak, pemanduan laju nyata tidak sesuai untuk Alza ini. Pada harga atas jalan 62,690.00 sebuah tanpa insurans, ia adalah sebuah kereta keluarga untuk ‘makan angin’ dan bukannya untuk orang lain ‘makan asap’.











