MANSOURA, Mesir – Sebuah mahkamah di sini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas seorang wanita kerana membuat gangguan seksual terhadap seekor monyet di utara negara ini, lapor akhbar Al-Ahram Jumaat lalu.
Basma Ahmed, 25, ditahan pada Oktober lalu dan didakwa menggalakkan perbuatan lucah dan melakukan aksi kurang sopan di tempat awam selepas satu rakaman video tular di media sosial.
Dalam rakaman tersebut, Basma dilihat ketawa ketika memegang kemaluan seekor monyet di sebuah kedai haiwan peliharaan di Bandar Delta Nil dan membuat gambaran aksi lucah sambil diperhatikan beberapa orang lain.
Wanita itu mengaku terlibat dalam kejadian dalam rakaman itu tetapi menafikan dia berniat melakukan aksi kurang sopan dan sebenarnya sedang menggeletek haiwan tersebut, malah tidak tahu video itu dikongsi rakannya ke media sosial.
Basma sebelum ini ditahan reman selama empat hari sebelum pendakwa raya menambahnya kepada 15 hari kerana ini bukan kali pertama dia ditahan selepas melakukan perbuatan melanggar moral di tempat awam. – Agensi










