TAHUN 2018 mencatatkan sejarah tersendiri apabila Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia selama 61 tahun tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu sekali gus muncul Malaysia baharu.
PRU-14 yang disifatkan sebagai Bapa Segala Pilihan Raya menyaksikan gelombang tsunami rakyat membadai kuasa politik BN yang selama ini dianggap tidak dapat ditewaskan.
BN yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya memperoleh 79 kerusi Parlimen, manakala Pakatan Harapan (PH) pula mendapat 104 kerusi, Pas (18), DAP (9), Parti Warisan Sabah (8), Parti Solidariti Tanah Airku (satu) dan bebas (dua).
Rumah digeledah, Najib dan Rosmah didakwa berhubung kes 1MDB
SELEPAS kekalahan mengejut BN, polis telah membuat pemeriksaan di enam lokasi pada 17 Mei lalu berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Lokasi pemeriksaan ialah pejabat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kediaman rasminya di Putrajaya selain empat kediaman persendirian di ibu negara termasuk kediaman di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur dan Pavilion Residences di Bukit Bintang.
Nilai keseluruhan wang tunai, barang kemas, jam tangan dan beg berjenama dipercayai milik keluarga Najib itu dianggarkan mencecah RM1 bilion.
Himpunan mega tolak ICERD
ICERD menjadi perkataan kontroversi yang cukup popular pada tahun ini di negara ini. ICERD merujuk kepada ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum.
Kontroversi ICERD dikatakan bermula sejak Oktober lalu apabila dimulakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia, termasuk ICERD pada suku pertama tahun hadapan.
Hal itu telah membangkitkan kemarahan orang ramai yang melihat perkara itu akan menggugat hak istimewa kaum Melayu dan Islam di negara ini.
Pemergian Muhammad Adib ditangisi seluruh rakyat
ANGGOTA bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang terkorban dalam peristiwa rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya, Selangor diratapi rakyat Malaysia sebagai wira negara.
Allahyarham yang cedera parah setelah dipukul sekumpulan perusuh pada 27 November lalu meninggal dunia pada 17 Disember lalu selepas 21 hari bertarung nyawa.
Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya kritikal selepas dibelasah kumpulan berkenaan ketika tiba untuk menjalankan tugas memadamkan satu kebakaran kereta.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.








