KUALA TERENGGANU 30 Dis. – Polis percaya dapat mematahkan sindiket pengedaran dadah di negeri ini dengan nilai rampasan hampir RM24.000 dalam dua serbuan di Kuala Ibai di sini dan di Rusila, Marang pada 26 Disember lalu.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Alaudeen Abd. Majid berkata, hasil serbuan itu pihaknya menahan seorang lelaki Melayu berusia 21 tahun.
Katanya, dalam operasi kira-kira 9.30 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri, penganggur itu ditahan ketika berada di atas sebuah motosikal di hadapan sebuah rumah di Kuala Ibai sebelum bertindak mencampakkan satu paket plastik disyakki mengandungi dadah.
“Hasil soal siasatan, suspek telah bawa polis ke sebuah rumah di Rusila, Marang dan hasil pemeriksaan di dalam rumah itu, polis menemui satu paket plastik cerah yang di dalamnya terdapat paket-paket plastik berwarna biru dengan setiap plastik biru itu berisi pil warna merah
disyakki dadah.
“Turut dijumpai, satu paket plastik cerah yang di dalamnya terdapat empat paket plastik yang setiap satu berisi serbuk / ketulan Kristal disyaki dadah dengan berat keseluruhan 164.17 gram bernilai lebih RM13,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini
hari ini.
Kata beliau, pihaknya percaya suspek yang bergerak sendirian itu mengedar dadah di sekitar daerah ini dan Marang dan dia dipercayai mula menjalankan kegiatan itu awal Oktober lalu.
“Bagaimanapun ujian air kencing ke atas suspek di dapati negatif dan dia tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya.
Alaudeen berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga 2 Januari depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE










