[VIDEO] Ibu selamatkan anaknya diganggu lelaki kurang siuman di masjid - Utusan Malaysia

[VIDEO] Ibu selamatkan anaknya diganggu lelaki kurang siuman di masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK – Tindakan pantas seorang ibu berjaya menyelamatkan anaknya daripada diganggu oleh seorang lelaki dipercayai kurang siuman dalam satu kejadian di Masjid Al-Ikhlas Taman Seri Melati, Selayang Jaya di sini pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, wanita itu yang juga seorang guru tadika menghadiri kelas agama bersama dua anak perempuannya di masjid tersebut apabila dia ternampak anaknya diganggu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, ketika itu salah seorang anaknya telah keluar ke kaki lima masjid untuk mencuci tangan dan seorang lelaki telah memegang serta cuba mengangkat anaknya.

“Ibunya terus bergegas keluar untuk menarik anaknya masuk ke dalam masjid dan suspek berlegar-legar di kawasan sekitar sebelum beredar tidak lama kemudian.

“Menurut keterangan wanita tersebut, suspek disyaki seorang kurang siuman,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Pihaknya turut menafikan bahawa ia adalah kes cubaan culik seperti yang diviralkan di laman media sosial Facebook hari ini.

Samsor menambah, menurut saksi iaitu setiausaha di masjid itu, Mohd. Nur Afzan Ab. Wahab, pihaknya tidak menyedari kejadian tersebut tetapi setelah melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), beliau mengecam bahawa suspek adalah mualaf dan baru memeluk Islam pada tahun lalu.

“Beliau memberitahu bahawa suspek dipercayai kurang siuman kerana sering bercakap seorang diri namun dia sering hadir ke masjid untuk bersolat.

“Saksi juga sering mengajar suspek kaedah mengerjakan solat dengan betul dan turut memaklumkan kepada saksi bahawa dia menetap di kawasan Intan Baiduri di sini,” ujarnya.

Usaha untuk mengesan suspek sedang giat dijalankan bagi mengetahui fakta sebenar kes tersebut.

Dalam sebuah video berdurasi 39 saat yang tular di Facebook hari ini menunjukkan seorang lelaki yang cuba menganggu kanak-kanak perempuan yang sedang membasuh tangan di sinki luar masjid tersebut.

Tidak lama kemudian, kelihatan seorang wanita yang juga ibu kepada kanak-kanak tersebut telah menghalang suspek dan membawa anaknya masuk ke dalam masjid. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×