KUALA LUMPUR 30 Dis. – Polis menafikan kejadian cubaan culik seorang kanak-kanak perempuan yang didakwa berlaku di sebuah masjid di Taman Seri Melati, Selayang Jaya, dekat sini seperti yang tular dalam media sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kejadian sebenar ialah seorang lelaki mualaf yang dipercayai kurang siuman berusia lingkungan 40-an didapati telah mengganggu kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun itu.
Menurutnya, kejadian berlaku pada pukul 11 pagi semalam ketika ibu mangsa yang juga seorang guru sedang menghadiri kelas agama di masjid tersebut dan ketika sedang mendengar tazkirah, anak perempuannya keluar untuk mencuci tangan.
“Tiba-tiba ibu mangsa melihat suspek memegang dan mengangkat anak perempuannya lalu wanita itu bergegas keluar menarik mangsa masuk semula ke dalam masjid.
“Selepas kejadian, suspek masih berlegar-legar di perkarangan masjid sebelum beredar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Samsor memaklumkan, menurut seorang saksi bebas yang juga setiausaha masjid tersebut, suspek sering datang ke masjid untuk solat dan dipercayai kurang siuman kerana sentiasa bercakap seorang diri.
“Usaha mengesan suspek sedang dijalankan bagi mengetahui kejadian sebenar namun kejadian ini bukan kejadian culik seperti yang ditularkan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE










