KAHERAH – Seramai tiga pelancong Vietnam dan seorang pemandu pelancong Mesir terbunuh kelmarin selepas sebutir bom tepi jalan meletup lalu terkena sebuah bas yang dinaiki mangsa ketika kenderaan itu melalui kawasan berhampiran piramid Giza dekat sini, kata pihak berkuasa.
Satu kenyataan daripada pejabat pendakwa raya awam menyatakan, sebanyak 11 lagi pelancong Vietnam dan pemandu bas Mesir cedera sewaktu bom buatan tangan itu meletup.
Bahan letupan itu dipasang pada sebuah tembok dinding di sepanjang Jalan Mariyutiya di wilayah Al-Haram kira-kira empat kilometer dari piramid Giza, menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama menyatakan, bas itu membawa seramai 16 penumpang termasuk 14 pelancong Vietnam, dua warga Mesir masing-masing pemandu dan pemandu pelancong.
Kementerian Dalam Negeri Mesir menyatakan, bas itu terkena letupan peledak berkenaan kira-kira pukul 6.15 petang (waktu tempatan).
Anggota keselamatan bersenjata dikerah ke lokasi kejadian dan menutup kawasan berkenaan untuk pemeriksaan.
Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly ketika melawat kumpulan pelancong yang cedera di Hospital Al Haram memberitahu wartawan, bas berkenaan mengambil satu laluan luar jangka.
“Bas itu melencong dari laluan diawasi pasukan keselamatan,” katanya kepada stesen Extra News, satu kenyataan turut dibuat oleh pemilik syarikat bas pelancong berkenaan.
“Kami sudah berhubung dengan Kedutaan Vietnam dan apa yang penting sekarang menjaga yang cedera,” katanya.
Pemandu bas itu kemudian memberitahu media bahawa dia tidak melencong dari laluan asal.
Kementerian Luar Vietnam semalam mengesahkan tiga rakyatnya terbunuh dalam letupan itu dan sedang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri Mesir untuk memberi bantuan kepada mereka yang cedera dan keluarga mangsa.
Kumpulan pelancong itu dalam perjalanan untuk menyaksikan satu pertunjukan cahaya dan bunyi dekat kawasan piramid yang sudah dilawati sebelum insiden berlaku, kata Lan Le, 41, salah seorang penumpang bas berkenaan yang tidak mengalami kecederaan.
“Kami sedang menuju ke pertunjukan cahaya dan bunyi, tiba-tiba terdengar bunyi (letupan) bom. Ia amat mengerikan, orang ramai menjerit-jerit,” katanya kepada agensi berita Reuters di Hospital Al Haram.
Tiada mana-mana pihak tampil mengaku bertanggungjawab melakukan serangan bom itu. Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan mengutuk serangan berkenaan.
“Kami bersama semua rakyat Mesir dalam perjuangan menentang keganasan dan menyokong kerajaan dalam membawa pesalah serangan itu ke muka pengadilan,” kata jurucakap Jabatan Keadilan AS, Robert Palladino.
Semalam, pasukan keselamatan Mesir membunuh seramai 40 suspek militan dalam dua kejadian berasingan di Giza dan Senai Utara.
Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri tidak menyatakan sama ada kumpulan suspek itu ada kaitan dengan serangan bas pelancong kelmarin.
Di Giza, seramai 30 suspek dibunuh dan pihak berkuasa menemui ‘bahan pengganas’ untuk satu rancangan serangan institusi-institusi kerajaan dan industri pelancongan.
Seramai 10 lagi suspek dibunuh di Sinai Utara. Agensi berita rasmi MENA melaporkan, kumpulan suspek mati dalam satu kejadian berbalas tembakan. – AFP/Reuters










