Mungkinkah saya dapat melihat perubahan? – Tun M - Utusan Malaysia

Mungkinkah saya dapat melihat perubahan? – Tun M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 29 Dis. – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, masa sudah tidak banyak untuk beliau melihat perubahan orang Melayu menjadi bangsa yang lebih berjaya di tanah air sendiri.

Beliau berkata, adalah aneh orang Melayu yang sanggup berkongsi negara dengan orang lain, tetapi ketinggalan dalam pelbagai bidang terutama ekonomi disebabkan sikap mereka yang tidak mahu berusaha.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meletakkan harapan kepada Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) agar segera melaksa­nakan perubahan yang diperlukan bagi menjayakan matlamat perjuangan parti dan negara.

Sebagai generasi pelapis, katanya, Armada harus membuktikan bahawa mereka mampu mengubah diri daripada perso­naliti tidak berkebolehan kepada personaliti boleh berjaya.

‘‘Inilah harapan kami (pe­mimpin) yang tua. Masa sudah tidak banyak, mungkinkah dapat saya lihat perubahan yang diperlukan,’’ katanya ketika berucap pada perjumpaan Pengerusi Bersatu bersama perwakilan Armada sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Ke-2 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Dr. Mahathir turut mengingatkan ahli-ahli Armada mengenai nasib sebuah parti Melayu yang sekarang ‘sudah tiada’ selepas 60 tahun berkuasa disebabkan sifat pemimpin mereka, bukannya kerana faktor perjuangan parti itu.

‘‘Mereka tidak berusaha untuk orang Melayu supaya setaraf dengan orang lain. Sebaliknya, mereka dapat peluang memperkayakan diri mereka sahaja. Rakyat tolak mereka bulat-bulat.

‘‘Kita juga daripada jenis yang sama. Kalau kita terperangkap dengan sifat seperti mereka, akhirnya kita tersungkur, tersingkir,’’ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×