KAHERAH 29 Dis. – Pasukan keselamatan Mesir menembak mati 40 suspek militan dalam operasi di tiga lokasi berasingan di Sinai Utara dan Giza.
Kementerian Dalam Negeri memaklumkan, operasi dijalankan sehari selepas kejadian serangan bom berhampiran Piramid Giza dekat sini yang mengorbankan tiga warga Vietnam dan seorang pemandu pelancong rakyat tempatan manakala 12 yang lain cedera.
Kejadian berlaku apabila sebutir bom yang diletakkan di tepi jalan meletup ketika bas yang dinaiki mereka menghampiri Piramid Giza dekat sini lewat petang semalam.
Kejadian itu adalah yang pertama disasarkan terhadap pelancong asing di negara ini sejak lebih setahun lalu dengan sektor pelancongan Mesir baharu sahaja pulih daripada kejatuhan bilangan pelawat sejak pemberontakan 2011.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu sehingga kini.
Pihak kementerian tidak memberi ulasan lanjut sama ada suspek militan yang terbunuh dalam operasi tersebut mempunyai kaitan dengan serangan berhampiran Piramid Giza.
Namun jelas mereka, dua serbuan di Giza menyebabkan 30 orang pengganas terbunuh, manakala 10 lagi maut di Sinai Utara.
Menurut kenyataan dikeluarkan kementerian, mereka bertindak selepas menerima maklumat bahawa suspek sedang bersedia melancarkan beberapa siri serangan termasuk institusi pelancongan serta gereja.
Identiti kesemua suspek bagaimanapun tidak didedahkan.
Beberapa kumpulan ekstremis termasuk yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh bergerak aktif di Mesir dan pernah menyasarkan pelancong asing sebelum ini.
Terdahulu kementerian tersebut memaklumkan, bas yang dinaiki pelancong Vietnam itu terkena letupan bom dipercayai buatan sendiri berdekatan sebuah tembok di Jalan Marioutiya sekitar pukul 6.15 petang waktu tempatan.
Tambah kementerian itu, sejumlah 14 pelancong Vietnam menaiki bas terbabit ketika kejadian.
Kesemua mereka yang cedera telah dibawa ke Hospital Al Haram yang terletak berdekatan dengan tempat kejadian.
“Bas tersebut menyimpang dari laluan yang dikawal oleh pasukan keselamatan.
“Kami sudah berhubung dengan Kedutaan Vietnam untuk memaklumkan berhubung insiden ini dan apa yang mustahak sekarang ialah menguruskan mereka yang cedera,” kata Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly kepada stesen televisyen tempatan.
Seorang pelancong Vietnam, Lan Le, 41, yang ditemukan di hospital berkata, kesemua mereka sedang dalam perjalanan untuk menyaksikan persembahan bunyi dan cahaya di piramid berkenaan.
“Tiba-tiba kami dengar bunyi letupan bom. Kejadian itu amat menakutkan dan semua orang menjerit. Saya tidak ingat apa-apa selepas itu,” jelasnya.
Sementara itu, seorang penyiasat di tempat kejadian berkata, bom berkenaan dipercayai diletakkan berdekatan dengan tembok di jalan tersebut.
Tentera dan polis Mesir sebelum ini melancarkan kempen besar-besaran menentang kumpulan militan pada Februari lalu, menyasarkan Semenanjung Sinai serta kawasan selatan dan sempadan dengan Libya.
Mesir menyatakan, menentang militan adalah satu keutamaan sekiranya mahu mengembalikan kestabilan di negara ini selepas bertahun-tahun bergolak ekoran kebangkitan rakyat atau Arab Spring pada 2011. – REUTERS/AFP










