KUALA LUMPUR 29 Dis. – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan pelantikan beberapa jawatan utama kepemimpinan parti yang diumumkan semalam sebagai membelakangkan pandangan akar umbi.
Menurutnya, parti perlu mengambil semangat musyawarah dan saling hormat-menghormati demi mengembalikan perjuangan parti ke landasan sebenar.
Justeru, beliau menggesa Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneliti semula pelantikan jawatan-jawatan utama berkenaan.

“Pelantikan yang telah diumumkan tidak mencerminkan prinsip ‘fair and just representation’ terhadap aspirasi anggota dan tidak akan membantu parti untuk maju ke hadapan. Beberapa individu dinamakan juga terlibat secara langsung dalam proses pemilihan yang tidak telus dan menyebabkan punca perpecahan dalam parti.
‘‘Jawatan Setiausaha Agung adalah jawatan penting yang harus dipikul oleh seseorang profesional dan wibawa dalam memahami tugas pengurusan serta pentadbiran. Beliau perlu melaksanakan tugas selaras dengan keputusan parti yang dibuat secara konsensus dan bukan mengambil pendirian secara berasingan,” katanya menerusi kenyataan dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Semalam, PKR mengumumkan beberapa jawatan utama kepemimpinan parti menerusi lantikan termasuk bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang dilantik sebagai Naib Presiden.
Pengumuman lantikan itu dibuat oleh presiden parti dalam satu kenyataan rasmi yang turut melantik dua lagi Naib Presiden baharu iaitu Chang Lih Kang dan Ali Biju (Sabah/Sarawak).
Mereka melengkapi senarai Naib Presiden parti sedia ada yang menang dan dipilih menerusi Pemilihan PKR iaitu Chua Tian Chang, Dr. Xavier A. Jayakumar dan Zuraida Kamaruddin.
Seorang lagi Naib Presiden yang turut memenangi jawatan itu ialah Nurul Izzah Anwar namun beliau meletakkan jawatan baru-baru ini.
Tambah Mohamed Azmin, beliau menggesa presiden parti memberi perhatian serius berhubung perkara ini demi menjamin masa depan parti yang kukuh dan inklusif.
“Sesungguhnya, idealisme reformasi dalam PKR menuntut kita bergerak dengan kekuatan organisasi yang mantap dan meraikan kerencaman pandangan serta inklusif dalam menggarap seluruh kekuatan sumbangan anggota PKR,” katanya.










