Anak pak turut, menantu bodoh sombong - Utusan Malaysia

Anak pak turut, menantu bodoh sombong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“BOLEH saya katakan anak menantu zaman sekarang tidak seperti zaman saya muda-muda kira-kira 40 tahun lalu. Dulu kebanyakan menantu hormat mentua mereka, walaupun bukan semua. Berbeza zaman sekarang. Mereka bukan sahaja tak tahu hormat malah tak tahu ambil hati mentua. Main langgar aja.

 

“Mungkin saya ini berfikiran kuno, dah tua, tapi dulu saya muda juga, saya bukan suri rumah sepenuh masa, saya bekerjaya. Pendidikan juga tinggi, ada ijazah. Boleh katakan taraf pendidikan saya sama dengan menantu saya sekarang tetapi cara mereka bergaul dengan saya boleh saya simpulkan langsung tidak hormatkan mentua. Untung saya bukan duduk kampung jika tidak tentu saya lebih dibenci menantu sebab menumpang rezeki mereka,’’ itu cerita Normalizah ketika menghubungi penulis.

“Saya bukan menghina semua menantu zaman sekarang, tetapi sebahagian kecilnya memang berperangai bodoh sombong. Belajar saja tinggi, tetapi otak letak kat lutut. Banyak sebab saya kata demikian. Pertama kalau dia minta jaga anak-anaknya beberapa hari, bila waktu nak ambil anaknya mulalah bersungut anaknya selsemalah, demamlah, jatuhlah, berparutlah, macam-macam hal komplen mereka.

“Itu belum masuk bab bersungut baju seluar anak-anaknya hilang. Sebenarnya dia takut baju seluar anak dia dipakai oleh cucu-cucu saya yang lain.

“Pernah saya beritahu lain kali kalau datang tak payah bawak baju, boleh pakai baju seluar cucu saya yang lain. Tapi tak mau pulak, konon standard pasar malam. Peliknya bila sesak nak hantar anak ke rumah saya suruh suami iaitu anak lelaki saya cakap. Dia tak berani cakap..

“Yang menaikkan darah saya lagi, kalau nak pergi bercuti dia tak mahu beritahu lebih awal, selang seminggu dua nak berangkat baru beritahu, sedangkan saya pun ada rancangan sendiri. Jangan ingat dia aja nak makan angin, saya pun ada rancangan. Tetapi disebabkan perbuatannya, saya terpaksa batalkan rancangan bercuti bersama suami dengan anak yang lain kerana dia nak hantar anak, suruh kita jaga.

“Bila saya batalkan rancangan tentu anak saya marah, sebab mereka dah ambil cuti dan dah buat rancangan. Memanglah melancong dalam negeri tetapi tentu kita pun dah tempah bilik hotel. Bila anak kita kecewa, tentu kita pun sama. Lepas tu pembantunya diberi bercuti dan dia suruh kita jaga anak-anaknya. Kita pun dah tua mana larat nak pergi kedai selalu, sebab anak anaknya bukan jenis makan masakan kita, kena pergi beli ke kedai. Memang menyusahkan.

“Ini bukan kali pertama dah 3, 4 kali, atas alasan ada meeting oversea dan sekali holiday. Itu baru cerita dia pergi cuti, belum lagi bab pergi kenduri kendara. Kalau ada kenduri sebelah saudara mara saya memang jaranglah dia sampai, alasannya emak dia ada hal, ada kenduri saudaranya dan adik beradik bertunanglah. Macam-macam. Saya tak marahlah kalau dia pergi sendiri, tapi dia paksa suaminya iaitu anak saya ikut sama. Memanglah itu suaminya, tetapi anak kita patut dahulukan emak sendiri. Sekali sekala bergilir apa salahnya.

“Itu bab pergi bercuti dan kenduri, belum masuk hubungan ‘pahit maung’ dengan ipar-duai. Fikirnya dirinya sahaja penting, sementara adik-adik ipar dia tak peduli. Kalau balik raya ke rumah saya dah tengah malam raya baru sampai ataupun petang raya. Pendek kata dia tak perlu bantu apa pun kerana semuanya sudah tersedia. Dia hanya duduk makan saja. Tidur semalam di rumah, esok pagi-pagi dah balik ke rumah emaknya. Alasan tak dapat cuti panjang.

“Saya tahu menantu saya ini takut balik awal, pertama kerana tak tahu masak, kedua takut kena keluar duit banyak kena beli bahan juadah buat hari raya. Jadi kalau balik lewat tak payah keluar duit. Dia fikir saya minta duit dia atau duit anak lelaki saya ke untuk juadah raya? Saya masih mampu sediakan. Saya mahu mereka balik supaya dapat bersama ipar-duai berhari raya, itu pun susah ke? Bukan pun tiap-tiap tahun!

“Apa dia fikir saya tak bekerja, tak ada pencen bulanan seperti ayahnya, maka saya tak ada duit dan harapkan anak-anak bagi duit setiap bulan. Janganlah fikir saya sengkek macam tu. Saya masih mampu lagi. kerana saya ada simpanan sendiri.

“Saya mula sedar ketakutannya terhadap saya dan suami apabila satu hari menantu saya ini tanya apakah saya ada insurans perubatan, katanya insurans perlu sebab belanja perubatan dan rawatan di hospital sekarang mahal. Lainlah kalau nak duduk hospital kerajaan. Tak seperti ayahnya ,bekas kakitangan kerajaan ada duit pencen setiap bulan dan kalau masuk hospital kerajaan duduk kelas pertama. Percuma!

“Dia juga hairan mengapa tidak ada seorang pun anak saya kerja kerajaan. Kalau ada tentu senang dapat rawatan percuma hospital kerajaan. Sebab dia kata demikian kerana suami saya ada sakit jantung dan pernah jalani rawatan di hospital.

“Walaupun dia bercakap biasa sahaja tetapi saya boleh selami apa maksud cakap dan kebimbangannya. Kita dah tua. Memang cepat terasa hati. Si menantu ini juga susah hati masa kami pergi umrah kali ketiga. Katanya, kenapa nak pergi banyak kali? Sekali pergi Mekah buat haji dan sekali umrah sudah memadai. Tersentap saya bila dia kata demikian. Saya tak minta duit anak-anak. Kami ada simpanan dan kami rasa cukup untuk hari tua dan rawatan perubatan kami. Namun kalau mereka nak bagi, kami terima, tapi kami tak pernah minta.

“Bukan mengumpat tapi apabila saya perhatikan perangai anak-anak saya iaitu dua perempuan dan dua lelaki amat berbeza. Anak perempuan terlalu ambil berat kesihatan dan kebajikan kami suami isteri sedangkan anak lelaki tidak.Yang lelaki banyak jadi pak turut kepada isteri mereka. Contoh, bila buat kenduri, jamuan raya atau ketika saya mengerjakan haji dan umrah anak perempuanlah lebih banyak menghulur duit berbanding anak lelaki.

“Sedangkan mereka semua mendapat pendidikan yang sama. Kenapa anak perempuan lebih ambil berat emak ayah mereka berbanding anak lelaki? Sedangkan menurut ajaran agama anak lelaki mesti bertanggungjawab lebih kepada emak ayah bukannya anak perempuan.

“Kesimpulannya, jika saya beri lebih banyak harta dan simpanan saya ini kepada anak-anak perempuan, saya rasa memang sepatutnya berbanding anak-anak lelaki yang lemah dan tunduk kepada kehendak isteri isteri mereka. Nak balik rumah emak sendiri pun susah apatah lagi nak jadi tempat emak bapak bergantung harap.

“Saya pernah dengar ceramah seorang ustaz tentang kifarah.Katanya, apa yang kita lakukan kepada ibu bapa atau mentua kita maka kita akan terima nanti bila sudah tua.

“Peliknya saya dipinggirkan oleh menantu saya, sedangkan sayalah menantu kesayangan mentua sebab saya paling banyak bantu mereka ketika susah dan memerlukan. Contoh, kalau raya, saya jadi orang kuat sediakan jamuan. Kalau saya tak balik raya tahun itu, saya pastikan duit daging, ayam dan sebagainya saya kirimkan kepada mentua. Perkara sama juga saya buat untuk emak ayah sendiri.

“Emak ayah mentua sakit kami suami isteri hantar ke hospital. Perbelanjaannya kami tanggung. Pendeknya semua kami uruskan, saya tak pernah tanya mertua saya ada insurans perubatan ke? Ada duit ke nak pergi Mekah? Simpanan dan harta ada ke? Makan minum setiap hari ada duit ke? Saya pastikan suami hantar duit kepada emaknya setiap bulan.

“Begitu banyak kebaikan saya taburkan kepada mentua tetapi mengapa saya dapat balasan seperti itu daripada menantu saya? Bukan saya harapkan balasan terbaik daripada mereka, cukuplah tidak cemburukan saya. Malangnya saya dicemburui dan ditakuti susahkan mereka apabila saya tak berduit terutama sakit. Kerana mereka takut saya minta duit dari anak saya

“Bila hati terasa pedih saya nasihatkan menantu saya jangan hantar anak-anaknya ke rumah saya kerana saya sudah tua. Kalau sesak sebab pembantu rumah lari, dia mesti urus sendiri, jangan hantar pada saya lagi. Belajar berdikari. Dulu saya pun bekerja masih boleh jaga empat orang anak sendiri, tak pernah ada pembantu, kecuali dibantu jiran semasa anak masih kecil, bila besar saya latih mereka berdikari.

“Saya bangun pukul 5 pagi sediakan makan minum untuk sarapan dan makan tengah hari. Kalau saya boleh bangun pukul 5 pagi uruskan anak mengapa menantu sekarang tak boleh buat?’’ Itu cerita Normalizah tentang susah senang ada menantu yang terlalu berkira dalam semua hal baik duit ringgit dan tenaga. Lebih menyakitkan hati langsung tak ada budi bahasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×