PUTRAJAYA 29 Dis. – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, masa sudah tidak banyak untuk beliau melihat perubahan orang Melayu menjadi bangsa yang lebih berjaya di tanah air sendiri.
Beliau berkata, adalah aneh orang Melayu yang sanggup berkongsi negara dengan orang lain, tetapi ketinggalan dalam pelbagai bidang terutama ekonomi disebabkan sikap mereka yang tidak mahu berusaha dan berubah.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysua (Bersatu) meletakkan harapan kepada Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) agar segera melaksanakan perubahan yang diperlukan bagi menjayakan matlamat perjuangan parti dan negara.
Sebagai generasi pelapis kepada tampuk kepimpinan parti, katanya, Armada harus membuktikan bahawa mereka mampu mengubah diri daripada personaliti tidak berkebolehan kepada personaliti boleh berjaya.
“Kepada yang tua, mereka sudah jadi keras dan tidak dapat dibentuk. Mereka mempunyai jawapan kepada apa sahaja yang kita lakukan. Mereka lebih berpengalaman, lebih pandai dan tidak boleh dibetulkan lagi.
“Inilah harapan kami (pemimpin) yang tua. Masa sudah tidak banyak, mungkinkah dapat saya lihat perubahan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan Pengerusi Bersatu bersama perwakilan Armada sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Ke-2 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.
Dr. Mahathir turut mengingatkan ahli-ahli Armada mengenai nasib sebuah parti Melayu yang sekarang ‘sudah tiada’ selepas 60 tahun berkuasa disebabkan sifat pemimpin mereka, bukannya kerana faktor perjuangan parti itu.
“Mereka tidak berusaha untuk orang Melayu supaya setaraf dengan orang lain. Sebaliknya, mereka dapat peluang memperkayakan diri mereka sahaja. Rakyat tolak mereka bulat-bulat.
“Kita juga daripada jenis yang sama. Kalau kita terperangkap dengan sifat seperti mereka, akhirnya kita tersungkur, tersingkir,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, semua perwakilan Armada perlu sentiasa bersiap sedia dan berusaha untuk menjayakan perjuangan parti dan negara.
“Armada adalah golongan muda dalam Bersatu. Generasi muda adalah pengganti golongan tua macam saya supaya mereka dapat mengganti dan meneruskan perjuangan.
“Maka, Armada perlu bersedia dan berusaha dengan apa yang diperlukan untuk membekalkan diri mereka dengan apa yang diperlukan untuk menjayakan sesuatu perjuangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE








