Tampil sopan, praktikal - Utusan Malaysia

Tampil sopan, praktikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SESEKALI tampil dalam busana Muslimah dengan mengayakan personaliti anggun yang sopan menyemarakkan lagi dunia fesyen. Jika dahulu fesyen ini agar sukar disesuaikan dengan aktiviti atau majlis tetapi sejak akhir-akhir ini, ia semakin diminati ramai.

Apatah lagi, ia dimodenkan menjadi satu fesyen yang tidak ketinggalan zaman. Tidak ketinggalan, pereka lebih mahir bermain dengan fabrik untuk mencipta busana yang tampil sopan tetapi masih kelihatan menawan.

Tidak hanya berkonsepkan fesyen semata-mata, jenama Nur Aishah tampil dengan busana menutup aurat, longgar, fabrik tebal dan tidak melekat pada tubuh serta penggunaan warna yang tidak terlalu menonjol.

Jika jenama lain mahu menyer­lahkan impak glamor kepada si pemakai, Nur Aishah selesa dengan elemen sopan tetapi masih kreatif, komersial dan boleh bersolat tanpa memakai telekung.

Ini sesuai dengan konsep praktikal dan mengubah persepsi fesyen Muslimah dalam konteks yang lebih luas bahawa bukan saja bercirikan Islam tetapi universal. Selain itu, setiap rekaan yang dihasilkan mengutamakan kualiti material, konsep, dan keselesaan agar setiap pelanggan berpuas hati dan dapat merasakan ciri-ciri eksklusif pada rekaan.

Material dan fabrik yang digunakan diimport dari negara-negara pengeluar fabrik berkualiti tinggi seperti China, Turki, dan Jepun, bagi memastikan rekaan yang dihasilkan menepati syariat yang digariskan serta selesa digayakan mengikut cuaca di Malaysia. Walaupun menghasilkan rekaan eksklusif dan berkualiti, koleksi Nur Aishah dijual pada harga berpatutan bermula RM39 sehingga RM250.

Dalam pada itu, Nur Aishah melancarkan butik kedua di Taman Ostia Bangi, Selangor pada November lalu. Selain telekung dan pakaian untuk menunaikan ibadah umrah dan haji, Nur Aishah turut mengembangkan sayapnya menghasilkan pelbagai jenis jubah, abaya, khimar, tudung, selendang, blaus dan banyak lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×