Menikmati juadah utara Thailand di Rong Seri - Utusan Malaysia

Menikmati juadah utara Thailand di Rong Seri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berpadanan dengan maksud Rong Seri dalam bahasa Thailand iaitu ruang dapur yang cantik maka pengunjung yang memasuki Restoran Rong Seri di Sungai Ramal Dalam, Kajang akan terpesona melihat keindahan hiasan dalaman restoran ini.

Dekorasinya mengetengahkan binaan dan hiasan kayu, daripada lampu sehinggalah kerusi yang diimport dari Chiang Mai di utara Thailand bagi menampilkan ciri-ciri seperti istana warisan diraja masyarakat Lanna di wilayah itu.

Ini juga bersesuaian dengan hidangan yang disediakan untuk pelanggan iaitu juadah utara Thailand, hidangan yang sukar didapati di negara ini kerana masyarakatnya lebih terdedah kepada masakan selatan Thailand.

Namun lebih menarik, pelanggan berpeluang menikmati makanan yang dihidangkan menggunakan ‘khantoke’, disebut sebagai khantok iaitu pahar diperbuat daripada kayu jati atau kayu pokok mangga berukir, yang satu ketika dahulu hanya digunakan semasa pemerintahan kerajaan lama Lanna.

Kata Pengurus Restoran Seri Bangi yang juga cef restoran, Wan Mustafa Kamal Wan Mohammad, 41, setiap khantok akan diisi dengan set menu pilihan pelanggan yang mempunyai tujuh jenis juadah sama ada khantok ayam dan daging atau makanan laut.

Jika berkunjung ke restoran ini adalah kemestian untuk mencuba masakan ikan siakap goreng rempah Rong Seri yang mempunyai gabungan rasa masam, manis dan pedas menggunakan rempah yang diadun sendiri oleh Wan Mustafa.

“Sebenarnya masakan utara Thailand dan mana-mana bahagian di negara ini sangat manis dan memang tidak bersesuaian dengan selera penduduk Malaysia justeru kami cuba ubah mengikut citarasa Malaysia tanpa menghilang ciri-ciri masakan utara Thailand,’’ katanya.

Wan Mustafa sendiri adalah graduan ‘master’ bidang kulinari utara Thailand di Chiang Mai pada 1999 dan mempunyai kepakaran memasak masakan Thailand.

Berpengalaman sebagai cef selama 20 tahun dan pernah menjadi cef restoran ‘Wok A Noodle’ di Birmingham, United Kingdom (UK) pada 2014 sehingga 2016, dia menegaskan masakan di Rong Seri tidak menggunakan sebarang perisa tambahan.

“Ketika di Birmingham kami mendapati penduduknya tidak suka makanan yang dicampur dengan perisa tambahan terutama makanan yang mengandungi monosodium glutamate (MSG) justeru kami mengekalkan cara tersebut di Rong Seri dengan memastikan masakan kami menggunakan ramuan asli,’’ katanya.

Antara masakan yang turut menjadi pilihan pelanggan di restoran ini termasuklah tomyam makanan laut Chiang Mai, sotong goreng telur masin, udang goreng mentega selain pelbagai masakan ketam nipah, ketam lembut dan udang kara namun pelanggan perlu membuat tempahan terlebih dahulu untuk menikmati hidangan makanan laut berkenaan.

Rong Seri menyediakan tiga ruang utama yang sesuai dan selesa untuk yang berkeluarga mengikut cita rasa dan ruang pandang yang menjadi pilihan sama ada Balai Rong Seri, Anjung Rong Seri atau Serambi Rong Seri.

Secara keseluruhan restoran ini boleh memuatkan 200 pelanggan pada satu-satu masa namun sambutan pelanggan yang paling tinggi adalah pada bulan Ramadan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×