Sensasikan ‘kanda-dinda’, rendah nilai sastera Melayu - Mujahid - Utusan Malaysia

Sensasikan ‘kanda-dinda’, rendah nilai sastera Melayu – Mujahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 29 Dis. – Keterujaan netizen mensensasikan istilah ‘kanda’ dan ‘dinda’ sehingga dilihat seolah-olah negatif memperlihatkan rendahnya nilai sastera Melayu dalam kalangan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, keghairahan menularkan perkara tersebut dalam kalangan netizen juga tanpa disedari merendahkan martabat sastera Melayu itu sendiri.

Ini kerana, menurutnya, istilah ‘kanda’ dan ‘dinda’ yang digunakan beliau dalam warkah kepada Nurul Izzah Anwar itu digambarkan dari sudut romantis sedangkan ia merupakan bahasa Melayu indah dalam menggambarkan hubungan antara orang lebih berusia dengan yang muda.

Tambahnya, keghairahan netizen itu juga menenggelamkan kandungan sebenar warkah dari Cardoba beliau itu iaitu kebimbangan penyokong reformasi ekoran keputusan Nurul Izzah meletakkan jawatan dalam PKR.

“Asasnya ia adalah surat yang jujur dari seorang yang lebih senior kepada seorang yang junior. 

“Saya bukan baru kenal Nurul Izzah sehari dua, tetapi sudah selalu berkongsi pentas ceramah dan menyaksikan sendiri perjalanannya sehingga digelar Puteri Reformasi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mujahid, penggunaan istilah sastera bukanlah sesuatu yang asing baginya kerana beliau juga kerap berpantun dan menggunakan bahasa Melayu klasik ketika berbahas di Parlimen.

Malah, dari sudut positif, beliau beranggapan netizen perlu berterima kasih kepadanya kerana warkahnya itu secara tidak langsung mempopularkan istilah sastera Melayu ‘kanda’ dan ‘dinda’ yang kini digunakan secara meluas.

Ditanya sama ada Nurul Izzah ada membalas warkahnya itu, Mujahid berkata, perkara itu perlu ditanya sendiri kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh berkenaan.

“Tetapi jika Nurul Izzah ada membalasnya pun saya tidak akan beritahu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×