KUALA LUMPUR 29 Dis. – Menjadi perkara biasa tatkala selebriti memilih untuk berniaga sebagai mata pencarian kedua.
Malahan platform yang luas untuk memasarkan perniagaan dapat dijana dengan hanya melibatkan diri dalam penganjuran karnival.
Ini diakui apabila barisan artis yang bernaung di bawah Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) apabila gerai jualan mereka diserbu peminat yang ingin membeli barangan serta mengabadikan gambar sebagai kenangan dengan artis dan selebriti kegemaran.
Presidennya, Anne Abdullah berkata, GTAS adalah platform terbaik buat artis-artis apabila membuka peluang buat mereka menyertai pelbagai karnival jualan yang berlangsung di seluruh negara.
“Alhamdulillah, apa yang dilakukan berjaya memberi pendapatan tambahan kepada hampir 80 ahli kami yang aktif berniaga.
“Pelbagai karnival sudah kami sertai, antaranya Jom Gempaq Fest (Gempaq Selebriti) di Dataran Tun Sri Lanang, Kota Tinggi, Johor pada Oktober lalu.
“Selain itu, sebahagian lagi ahli GTAS terbabit dalam Miri Lefestour Sarawak 2018 yang berlangsung di Stadium Tertutup Miri pada bulan yang sama.

“Ia sekaligus membuktikan bahawa artis-artis GTAS sememangnya mempunyai daya tarikan tersendiri bagi memeriahkan sesebuah karnival,” katanya.
Terbaru, Anne dan 18 ahli GTAS yang terpilih akan turun padang sempena Fiesta Jom Makan yang akan berlangsung pada 28 hingga 31 Disember ini di Linear Park Desa Tebrau (Belakang AEON Tebrau) Johor.
“Kami bekerjasama dengan Wanza Entertainment dalam penganjuran program ini. Barisan artis yang terbabit antaranya Zur Eda, Black Hanifah, Liza Abdullah, Ainina Ahmad B, Nadia Kesuma, Syanie, Kuna dan Ieda Moin.
“Ada banyak gerai disediakan untuk peniaga yang berminat terutamanya peniaga makanan.
“Menariknya di sini akan diadakan program penyediaan shell out terpanjang di Johor dan ia akan mendapat liputan daripada Melodi pada 29 dan 30 Disember,” katanya.
Menurut Anne, kehadiran artis ini adalah satu peluang keemasan yang tidak seharusnya dilepaskan peminat untuk datang bertemu mereka serta memiliki barangan jualan.
“Pembabitan GTAS terbukti dapat menarik perhatian pengunjung, selain membantu mereka mempromosikan perniagaan yang diusahakan.
“Selain jualan, banyak aktiviti lain turut diadakan bertujuan memeriahkan karnival ini iaitu persembahan artis, pertandingan karaoke, pertandingan mewarna, pertandingan fashion show si cilik, samyang challenge, gaga ride dan teh tarik challange.
“Inilah kelebihan kami sebagai artis kerana dengan mudah dapat menarik peminat datang ke karnival itu, sekali gus mempromosikan tapak karnival serta memberi keuntungan buat semua pihak,” katanya. – UTUSAN ONLINE










