KUALA LUMPUR 28 Dis. – 2018 adalah tahun yang hebat untuk telefon pintar. Pelbagai ciri canggih ditampilkan termasuklah kuasa fotografi dan reka bentuk paparan skrin yang lebih luas dan berkualiti.
Tetapi, adakah pelancaran model baharu pada 2019 akan mengatasi pencapaian 2018? Berdasarkan desas-desus atau iklan acah daripada pemain industri, tahun depan berkemungkinan besar lebih banyak telefon pintar yang canggih ditampilkan.
Menurut portal TechRadar, tahun depan akan menyaksikan telefon generasi kelima (5G), berserta skrin boleh lentur atau dilipat yang pertama daripada jenama terkemuka dan jika bernasib baik akan adanya kamera telefon yang dipertingkat.
Berikut adalah 10 model telefon pintar baharu yang dijangka menembusi pasaran pada 2019:
Model: Samsung Galaxy S10 & Galaxy S10 Plus
Bila?: Mac 2019
Khabar angin terkini berkaitan Samsung Galaxy S10 adalah telefon dengan skrin lebih besar yang mungkin mempunyai pinhole kamera dan bukannya notch yang membolehkan Samsung menghapuskan kesemua bezel.
Skrin juga mungkin mempunyai pengimbas cap jari binaan dalam, yang mungkin menjadi ultrasonik dan telefon itu didatangkan dengan kira-kira tiga hingga enam kamera. Ia kelihatan agak aneh pada pandangan pertama.
Model: Sony Xperia XZ4
Bila?: Mac 2019
Sony berdepan cabaran untuk kekal relevan sebagai pembuat telefon top-end. Pada 2018, syarikat itu melakukan kerja yang cukup baik, dengan skrin teknologi diod lampu organik (OLED) dan harga yang jauh lebih rendah untuk Sony Xperia XZ3.
Sony Xperia XZ4 bakal lebih menyerlah menggunakan aspek paparan 21:9 tanpa notch yang akan menjadikannya sebagai telefon paling “sinematik” setakat ini.
Model: Huawei P30 Pro
Bila?: Mac/April 2019
Jika anda tidak tertarik dengan telefon Huawei kebelakangan ini, anda harus bersedia untuk membuka mata dengan apa yang bakal ditawarkan oleh Huawei.
Huawei P30 Pro kini berada di dalam senarai teratas telefon pintar paling dikehendaki 2019. Laporan awal mencadangkan ia akan menggunakan sensor kamera utama 38 megapiksel.
Model: Motorola Moto G7 & G7 Plus
Bila?: Mac/April 2019
Siri Motorola G mungkin tidak mendapat perhatian ramai. Tetapi setiap tahun sejak 2013, telefon berkenaan menawarkan nilai terbaik buat pengguna dengan telefon yang berfungsi secara efisien dan tidak terlalu mahal.
Moto G7 dijangka mempunyai notch kecil, untuk memuatkan lebih banyak paparan dan mempunyai sekurang-kurangnya dua kamera di belakang.
Model: LG G8 ThinQ
Bila?: Mei 2019
Model LG G7 ThinQ yang diperkenalkan pada awal 2018 begitu menonjol kerana ia mempunyai kamera belakang ultra lebar dan bukannya fungsi zoom yang lebih popular.
Tetapi pada masa kini, beberapa telefon pintar sudah mempunyai kedua-dua fungsi iaitu zoom dan keluasan. LG V40 ThinQ didatangkan dengan lima kamera.
Model: Samsung Galaxy X
Bila?: Pertengahan 2019
Model ini boleh dikatakan sebagai calon telefon pelik 2019. Mengapa? Samsung Galaxy X adalah telefon boleh lentur yang telah sibuk diperkatakan hampir setengah abad.
Versi prototaip telah dipertontonkan pada Samsung Developer Conference yang diadakan di San Francisco pada November lalu.
Model: OnePlus 7
Bila?: Pertengahan 2019
Telefon pintar OnePlus yang berpangkalan di Shenzhen dijangka melancarkan model baharu, OnePlus 7.
Desas-desus mengatakan model itu akan menjadi telefon pintar pertama yang menawarkan internet mudah alih 5G.
Model: iPhone 11 and 11 Max
Bila?: September 2019
Kebocoran terus daripada Apple menunjukkan syarikat itu mempunyai beberapa rancangan radikal untuk mencipta semula iPhone, tetapi ia tidak memberitahunya secara jelas.
Ada yang mengatakan Apple bakal membuang notch daripada iPhone tetapi tidak menggantikannya dengan skrin penuh.
Model: iGoogle Pixel 4 & Pixel 4 XL
Bila?: Oktober 2019
Masih terlalu awal untuk mendapatkan sebarang informasi mengenai Pixel 4.
Bagaimanapun, kod nama produk itu sudah kelihatan di dalam ‘ARCore developer kit’. Ia merupakan apa yang syarikat telefon pintar gunakan untuk membuat aplikasi Android AR.
Model: Xiaomi Mi 9
Bila?: Belum diketahui
Ini adalah waktu yang sangat penting untuk pembuat telefon China, Xiaomi apabila mereka berjaya menembusi pasaran United Kingdom (UK) secara rasmi pada 2018.
Syarikat itu mempunyai banyak siri telefon, tetapi Xiaomi Mi 9 akan menjadi satu produk utama pada 2019.










