KANGAR 27 Dis. – Tidur malam penduduk di sekitar Bintong di sini tidak lena dan diulit kebimbangan selepas berlaku enam kejadian pecah rumah hanya dalam tempoh dua hari sejak Ahad lalu di kawasan berkenaan.
Kemunculan penyamun yang disyaki menggunakan ilmu pukau itu dikatakan menyasarkan rumah-rumah individu berpengaruh di kawasan berkenaan.
Antara mangsa dalam kejadian pada 23 dan 24 Disember lalu itu terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Nesam; Penyelaras Pakatan Harapan kawasan Bintong; Ketua Cawangan UMNO Wang Belimbing dan bekas Ketua Puteri UMNO kawasan berkenaan.
Mangsa, Abdul Jamil Akob, 61, berkata, dia dan penduduk di kawasan ini merasakan tidak selamat dengan kemunculan penyamun yang dikatakan bergerak secara berkumpulan itu.
Katanya, rumahnya di Kampung Nesam di sini dimasuki penyamun pada awal pagi 24 Disember lalu ketika dia dan keluarga sedang tidur.
Ujarnya, berikutan itu dia kerugian hampir RM2,000 selepas pencuri yang disyaki masuk ke rumah melalui tingkap melarikan wang tunai dan barangan kemas isterinya.
“Selain itu, mangsa-mangsa lain juga kerugian ribuan ringgit akibat perbuatan tidak bertanggungjawab penjenayah itu.
Kita percaya mereka (penyamun) menggunakan ilmu pukau kerana rata-rata daripada mangsa langsung tidak sedar dengan kehadiran kumpulan itu, antara pukul 3 sehingga pukul 5 pagi.
“Bayangkan dalam keadaan rumah yang terang dan ada dalam kalangannya tidur di ruang tamu juga tidak perasaan apabila pencuri memasuki rumah. Sejak kejadian itu, saya takut hendak tidur malam, bimbang pencuri berkenaan akan bertindak sekali lagi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tambah Pengerusi JKKK Kampung Nesam itu lagi, dia berharap pihak berkuasa dapat membuat rondaan di kawasan ini khususnya pada awal pagi.
“Penduduk pada masa ini merasakan sudah tidak selamat selagi penjenayah tersebut tidak diberkas,” katanya yang telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut baru-baru ini.
Seorang lagi mangsa, Mohd. Hafiz Mokhtar, 25, dari Kampung Syed Omar di sini berkata, dia kerugian hampir RM5,000 selepas pencuri berkenaan melarikan ikan kelisa; dua ekor burung dan pelbagai barangan lain di kedainya.
Katanya, ketika kejadian pada 23 Disember lalu, dia baharu sahaja balik dari kedai kira-kira pukul 4 pagi dan dipercayai pencuri telah memasuki premisnya selepas itu.
“Ketika hendak buka kedai pada pukul 9 pagi hari yang sama, saya mendapati banyak barangan termasuk ikan dan burung berharga itu hilang. Saya berharap pihak berkuasa segera memberkas pencuri berkenaan kerana kami berasa cukup tidak selamat sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Superitendan Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian pecah rumah itu dan pihaknya kini dalam usaha memburu suspek. – UTUSAN ONLINE










