KLANG – Para pengusaha bot di sini ternyata terus berdegil apabila membawa lebih penumpang dipercayai bagi mengaut keuntungan berlebihan bagi menjimatkan masa mereka.
Semalam, tiga lagi buah bot ditahan sekitar pukul 1.15 hingga 1.30 petang ketika dalam perjalanan dari Laut Pantai Cermin itu menuju ke Sungai Buloh, Jeram dan Kuala Selangor.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, ketiga-tiga bot berkenaan ditahan ketika pihaknya melakukan rondaan rutin di sekitar perairan Selangor.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, dua daripada bot yang diperiksa gagal mempamerkan lesen bot yang sah dan membawa lebihan penumpang.
Dalam operasi berasingan, pihaknya turut menahan menahan dua buah bot sekitar perairan sama atas kesalahan sama pada Ahad lalu.
“Mereka dilihat seakan mengambil remeh kesalahan berkenaan yang sebenarnya dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan para penumpang mereka.
“Mungkin bagi mereka ianya tidak penting, namun kita tidak akan berkompromi atas sebarang kesalahan dilakukan,”katanya.
Jelasnya, ketiga-tiga bot ditahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.
Kosmo! Online pada Selasa lalu melaporkan dua buah bot membawa penumpang berlebihan mengundang padah apabila ditahan APMM di sekitar perairan Selangor dekat sini. – K! ONLINE










