Karnival kembali ke sekolah besar-besaran tahun depan - Utusan Malaysia

Karnival kembali ke sekolah besar-besaran tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Kerajaan negeri Perak akan menganjurkan karnival Kembali Ke Sekolah secara besar-besaran di semua daerah melibatkan 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula tahun hadapan. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan berkata, karnival tersebut diadakan bagi menangani kenaikan harga barangan keperluan sekolah sekali gus memberi banyak manfaat kepada golongan B40. 

“Menerusi karnival tersebut, para peniaga dapat mempromosikan barangan yang mereka ada dengan harga yang murah dan pengguna pula mempunyai pilihan untuk menilai serta memilih sendiri barangan yang diperlukan. 

“Jadi, kerajaan negeri akan mengadakan karnival secara besar-besaran di semua 15 PBT di seluruh negeri secara tahunan bermula tahun hadapan,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pemeriksaan barangan keperluan sekolah di Pasar Raya Mydin Meru di sini sebentar tadi. 

Turut hadir, Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Perak, Shamsul Nizam Khalil. 

Tambah Sivanesan, beliau mendengar rungutan daripada orang ramai di dalam media sosial mengatakan harga kasut sekolah hitam mahal sehingga mencecah RM40. 

“Sekiranya mereka merasakan terbeban dengan harga RM40 tersebut, mereka boleh membeli kasut hitam lain yang lebih murah. Saya lihat di internet ada kasut hitam yang berharga RM24 sahaja. 

“Oleh itu, karnival Kembali Ke Sekolah ini akan memberi pilihan kepada mereka untuk membeli barangan yang diperlukan dengan harga yang berpatutan,” katanya. 

Jelasnya, Perak akan menjadi kerajaan negeri pertama mengadakan karnival ini di setiap daerah kerana masih belum ada karnival seumpama ini diadakan oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri lain. 

Sementara itu, Shamsul Nizam berkata, pihaknya telah memeriksa 242 premis dan mengeluarkan lapan notis amaran atas pelbagai kesalahan pada 22 hingga 26 Disember lalu. 

Katanya, sehingga kini, KPDNHEP Perak masih belum menerima aduan mengenai kenaikan harga kasut sekolah hitam dan keperluan sekolah yang lain. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×