PUTRAJAYA – Kerajaan akan membekukan kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya di seluruh negara bermula 1 Januari depan.
Antara 21 lebuh raya tersebut termasuklah Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya Shah Alam, Lebuh Raya Damansara-Puchong, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuh Raya Koridor Guthrie dan Lebuh raya Kuala Lumpur – Putrajaya.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, pembekuan kenaikan kadar tol secara komprehensif itu akan melibatkan kos kerajaan yang dianggarkan berjumlah RM994.43 juta untuk tahun depan.
Menurutnya, kerajaan turut menganggarkan kos bayaran pampasan berjumlah RM972.75 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya terbabit untuk tahun hadapan berikutan pembekuan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya itu.
“Perbelanjaan ini adalah untuk memanfaatkan rakyat Malaysia.
“Pembekuan komprehensif ini adalah berasaskan kepada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan untuk meringankan beban sara hidup yang dipikul oleh rakyat di negara ini,” katanya di sini hari ini.
Keputusan membekukan kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya di seluruh negara yang tolnya layak dinaikkan pada tahun depan itu dipersetujui jemaah menteri pada 12 Disember lalu.
Ia adalah satu penambahbaikan ketara kepada pengumuman Belanjawan 2019 yang membekukan semua kenaikan kadar tol di lebuh raya dalam bandar sahaja untuk tahun depan. – K! ONLINE










