KUALA LUMPUR 24 Dis. – Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyifatkan tindakan kerajaan menetapkan harga jualan runcit petroleum secara mingguan sebagai kaedah terbaik.
Menurut bekas Ahli Parlimen Pandan itu, langkah tersebut sekaligus dapat memberi manfaat kepada rakyat dengan serta-merta.
“Ini kaedah terbaik, semak mingguan supaya kalau harga turun, rakyat dapat serta merta dan sediakan subsidi supaya rakyat dilindungi (bayar RM2.20) kalau harga naik mendadak.
“Ini cara Pakatan Harapan, tahniah @guanenglim, kerajaan turunkan harga minyak bermula 1 Januari,” katanya menerusi laman Twitter beliau, hari ini.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga yang lebih rendah mulai 1 Januari depan.
Kata beliau, kerajaan juga akan menukar kaedah penetapan secara bulanan di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) kepada penetapan secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia yang menurun ketika ini.
Jelas Guan Eng, penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan akan dilaksanakan mulai 1 Januari depan bagi membolehkan pengguna menikmati perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia.
Semalam, Rafizi berkata, beliau mahu kerajaan menyemak harga petrol secara mingguan, sekali gus membolehkan harga RON95 turun sebanyak 20 sen seiring dengan kejatuhan harga minyak dunia.
Katanya, berdasarkan formula secara bulanan yang diguna pakai ketika ini, kiraan akan menunjukkan harga RON95 mengikut APM masih lagi tinggi daripada RM2.20 seliter. – UTUSAN ONLINE










