KUALA LUMPUR 24 Dis. – Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara.
Kenyataan aktivis, Shariffa Sabrina Syed Akil yang diterbitkan oleh Free Malaysia Today bahawa gerak kerja kerajaan sekarang dan kerajaan dahulu adalah sama terhadap golongan Orang Asli seakan-akan menunjukkan hak yang dimiliki golongan tersebut terabai.
Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Ajis Sitin berkata, kenyataan yang dibuat oleh aktivis itu tidak menunjukkan keadaan sebenar kerana pihaknya sentiasa memantau dan bekerjasama dengan kerajaan negeri supaya masyarakat Orang Asli sentiasa mendapat hak yang sewajarnya.
“Semenjak kerajaan Pakatan Harapan memerintah, perjuangan terhadap tuntutan tanah masyarakat Orang Asli telah dipergiat dengan sentiasa mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar di negeri-negeri supaya pewartaan tanah masyarakat Orang Asli dipercepatkan.
“Arahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meletakkan Jakoa di bawah Jabatan Perdana Menteri juga telah membuktikan bahawa kerajaan sekarang mengambil berat masalah yang dihadapi masyarakat Orang Asli kerana urusan dan permasalahan masyarakat Orang Asli akan sampai terus kepada beliau,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Ajis Sitin, Jakoa juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan mesyuarat bersama Ketua Masyarakat Orang Asli dan Aktivis Berkaitan Orang Asli mengenai permohonan pewartaan sebagai rezab dan pihaknya akan terus memantau sehingga perkara tersebut mendapat maklum balas.
“Memang benar, di negara ini kerajaan negeri mempunyai hak mutlak ke atas tanah dan hutan, namun dalam konteks Orang Asli mereka layak mendapat hak yang sewajarnya dari segi pemilikan dan perizaban tanah,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelbagai usaha dan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain sentiasa dilakukan demi memastikan masyarakat Orang Asli mendapat bantuan kebajikan yang mencukupi. -UTUSAN ONLINE










