PUTRAJAYA 24 Dis.- Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (Ssemkl) yang dibangunkan di kawasan seluas 2.8 hektar di Jalan Seladang, Pudu di ibu negara telah menerima perakuan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) dan dijangka bersedia untuk beroperasi sepenuhnya bermula Januari 2018.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memaklumkan, Ssemkl yang dibuka pada 2014 telah beroperasi secara berkongsi premis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam, Bukit Jelutong dengan enrolmen pelajar daripada tingkatan satu sehingga lima adalah 219 orang membabitkan empat bidang iaitu seni muzik, seni tari, seni teater dan seni visual.
“Para ibu bapa dan pelajar telah dimaklumkan mengenai perpindahan ke lokasi baharu pada hari ini.
“Konsep Sekolah Seni Malaysia adalah sekolah yang membangunkan potensi dan bakat kesenian pelajar dengan SSeMKL adalah Sekolah Seni ketiga selepas di Sarawak dan Johor,” kata kementerian itu di sini hari ini.
Kementerian juga memaklumkan sedang dalam usaha untuk menyediakan infrastruktur terbaik ke arah kecemerlangan potensi pelajar dan pengukuhan perpaduan melalui bidang seni khususnya terhadap pembangunan Sekolah Seni Malaysia.
“Visi Sekolah Seni Malaysia adalah menjadi pusat kecemerlangan pendidikan kesenian dan kebudayaan bagi melahirkan pelajar berilmu,” ujar kenyataan itu.-UTUSAN ONLINE










