Jangan cetuskan kekecohan - Polis Selangor - Utusan Malaysia

Jangan cetuskan kekecohan – Polis Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Peserta perhimpunan aman ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moorthy’ di Dataran Seni, Klang esok dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak mencetuskan sebarang kekacauan.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab, pihaknya akan menempatkan pegawai dan anggota polis yang mencukupi bagi mengawal keselamatan sepanjang berlangsungnya perhimpunan berkenaan.

“Kita sememangnya ada menerima notis pemberitahuan oleh pihak Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) mengenai penganjuran himpunan berkenaan namun ia diserahkan kurang daripada tempoh ditetapkan (10 hari sebelum acara berlangsung).

“Bagaimanapun, kita sudah bersiap sedia mengawal keadaan termasuk lalu lintas di sekitar bandar Klang esok dengan keanggotaan yang mencukupi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penganjur perhimpunan aman itu supaya mematuhi jadual acara yang ditetapkan pihak berkuasa serta tidak mencetuskan huru-hara serta ketengangan ketika himpunan berlangsung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh dalam kenyataannya berkata, lima persimpangan jalan akan ditutup esok bermula pukul 12 tengah hari berikutan perhimpunan tersebut.

Jelasnya, lima persimpangan masuk yang terlibat ialah Jalan Raja Hassan, Jalan Nangka, Jalan Nenas, Jalan Melayu dan Jalan Taiping. 

“Pada masa sama, jalan yang terlibat dengan penutupan berperingkat bermula pukul 3 petang pula ialah Susur Jambatan Kota, Bulatan Kota, Bulatan 100, Persiaran Sultan Ibrahim, Jalan Pos Baru dan Jalan Pasar.

“Malah, laluan kontra akan dibuat di Jalan Batu 3 sekiranya penutupan penuh dibuat,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan Geras menuntut tujuh perkara dalam perhimpunan aman itu termasuk mendesak supaya Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dan Pekerja Ladang negeri Selangor, V Ganabatirau, turut disingkirkan.

Selain itu, kerajaan diminta menguatkuasakan Akta Kontrak Sosial kepada generasi akan datang serta meminta mana-mana individu mahupun menteri tidak sesekali menghina agama Islam sebagai agama rasmi yang sudah termaktub dalam Perlembagaan negara.

Peserta dijangka berkumpul di Masjid Bandar Diraja Klang pada pukul 4 petang untuk solat jenazah ghaib dan solat Asar berjemaah sebelum berarak sejauh 400 meter ke Dataran Seni, Klang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×