PUTRAJAYA 24 Dis. – Kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga yang lebih rendah mulai 1 Januari depan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, langkah itu sejajar dengan trend penurunan harga pasaran minyak dunia pada ketika ini
Menurutnya, langkah itu memberikan kelebihan kepada pengguna sekiranya harga minyak dunia sedang naik tetapi memandangkan trend harga minyak adalah menurun kerajaan sedia menukarkan asas penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan.
“Ini bermakna kaedah penetapan harga secara bulanan di bawah mekanisme harga automatik (APM) akan digantikan dengan penetapan harga jualan runcit secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia menurun.
“Penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan akan dilaksanakan mulai 1 Januari depan bagi membolehkan pengguna menikmati perubahan harga yang lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia,” katanya.
Oleh demikian, tambahnya, harga runcit produk petroleum dijangka turun mulai 1 Januari 2019 dan sekiranya trend penurunan harga minyak sedunia diteruskan, maka harga minyak runcit akan diturunkan setiap minggu. – UTUSAN ONLINE










