Skuad Uniti KRT Kemaman anjur simulasi selamat mangsa di air - Utusan Malaysia

Skuad Uniti KRT Kemaman anjur simulasi selamat mangsa di air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 24 Dis. – Skuad Uniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daerah ini hari ini menganjurkan program Simulasi Menyelamat Mangsa Banjir di Dataran Ayoh Sor, Kampung Bukit Mentok dekat sini.

Program sehari itu merupakan anjuran bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Agensi lain yang turut terlibat ialah Pejabat Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Institut Pendidikan dan Latihan Ranaco (RETI) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Mentok.

Menurut Pegawai JPNIN daerah, Fikri Emir Zulkifli, skuad Uniti KRT itu merupakan sebuah pasukan khas di bawah kendalian JPNIN yang menawarkan pelbagai khidmat bantuan dan sokongan.

“Majlis penutupan pula disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Abd. Razak Ibrahim bertempat di Dewan Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok petang ini,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau menarik perhatian, seramai 50 anggota Skuad Uniti KRT dan 50 pelajar RETI berpeluang mengikuti latihan menyelamat di air anjuran Balai Bomba dan Penyelamat Cukai di bawah kendalian Pegawai Operasi Zon 2 JBPM, Muhammad Luqman Hashim.

“Selain itu, mereka juga diajar memberi bantuan pernafasan serta mengenal pasti kecederaan lain oleh Timbalan Pegawai APM daerah, Left. Madya (PA) Ahmad Saimi Jusoh.

“Kita alu-alukan golongan belia lingkungan usia 18 tahun ke atas untuk perkasakan skuad ini yang akan menjadi barisan hadapan dalam membantu komuniti yang ditimpa musibah seperti banjir, kebakaran, kemalangan dan juga bencana alam,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×